Buletin

MERCEDES-BENZ A-CLASS L SEDAN – EKSKLUSIF UNTUK CHINA SAHAJA

Mercedes-Benz dilihat terus mahu memenuhi kehendak pengguna muda di China apabila memperkenalkan A-Class L Sedan pada acara Beijing International Motor Show 2018.

Pengguna di republik itu boleh memilih di antara dua versi iaitu Sedan dan Sport Sedan yang lebih berkuasa. Mereka juga boleh mendapatkan rim beraiz 16 hingga 19 inci dan warna luaran rose gold yang khas untuk pasaran China sahaja.

Dihasilkan secara eksklusif untuk pasaran China oleh Daimler dan BAIC Motor, sedan tersebut menyerlahkan gayaan model CLS, bersama teknologi keselamatan dan sistem bantuan pemanduan seperti yang ada pada S-Class.

Bukan itu sahaja, A-Class L Sedan turut dilengkapi sistem kawalan suara pintar yang mampu mengecam pelbagai dialek Bahasa Cina termasuklah dari daerah Sichuan dan Kantonis.

Menyentuh tentang gayaan, kereta itu menggunakan falsafah rekaan terkini Mercedes-Benz yang dikenali sebagai Sensual Purity.

Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi overhang pendek di bahagian hadapan dan belakang, garis sisi yang kemas dan fascia hadapan agresif.

Bahagian belakang pula kelihatan lebih kompak dengan lampu LED, ekzos berkembar dan reflector yang diposisikan lebih ke bawah.

Sama seperti A-Class hatchback serba baharu, sedan itu dipasang dengan papan infotaimen terapung, pilihan lampu ambien sehingga 64 warna, corong udara seperti turbin angin dan banyak lagi.

A-Class L Sedan digerakkan oleh enjin empat silinder bersesaran 1.33 liter berkuasa 136PS atau 163PS. Kemudian, Mercedes-Benz dijangka menawarkan enjin bersesaran 2.0 liter yang lebih berkuasa, 190PS.

Semua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan 7G-DCT.

Mercedes-Benz dilapor akan memperkenalkan satu lagi versi sedan untuk pengguna di negara lain menjelang separuh pertama tahun ini.

GALERI

Google ads
Back to top button