Buletin

MERCEDES-BENZ C36 AMG – 25 TAHUN DAH KERETA SLEEPER HEBAT INI

Mercedes-Benz dan AMG ibarat nama yang tidak boleh dipisahkan. Hakikatnya pada suatu masa dahulu Mercedes-Benz dan AMG tiada kena mengena kecuali kerjasama dalam bidang perlumbaan.

Sejarah penyatuan dipateri pada tahun 1999 apabila konglomerat dari Stuttgart mengambil alih saham majoriti dalam AMG dan pada tahun 2005 Mercedes-AMG GmbH menjadi subsidiari penuh Daimler AG.

Sehingga kini lebih daripada 50 buah model Mercedes-Benz mempunyai pengaruh AMG dan sejak 2009 subsidiari ini telah membangunkan kereta prestasi tinggi secara bebas dan lahirlah SLS AMG dan Mercedes-AMG GT.

Sebelum model-model hebat ini dihasilkan, projek sulung syarikat ialah sebuah model ikonik yang relevan sehingga kini.

Model yang dimaksudkan ialah Mercedes-Benz C 36 AMG. Model ini pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Frankfurt (IAA) pada 9 September 1993.

Mercedes-Benz C 36 AMG diasaskan daripada model W202 dan ia adalah produk pertama Mercedes-Benz dan AMG yang diasaskan pada tahun 1967.

C 36 AMG mendapat sambutan menggalakkan, pada 1997 sebanyak 5,221 unit model berkuasa 280 hp ini berjaya dihasilkan.

Jumlah tersebut sepuluh kali lebih tinggi berbanding sebuah lagi model ikonik iaitu 190 E 2.5-16 Evolution II (W 201) yang diperkenalkan pada tahun 1990.

25 tahun lalu bukan C 36 AMG sahaja yang dihasilkan, beberapa lagi model dengan orientasi prestasi ditawarkan seperti E-Class (W 124) dan SL (R 129) berkuasa 381 hp dengan enjin 6.0 L, V8 atau dikenali sebagai E 60 AMG dan SL 60 AMG.

C 36 AMG bukan model yang dikeluarkan dengan penggayaan komestik sahaja. Ini kerana AMG adalah jenama yang dipandang tinggi oleh penggemar automotif.

Terdapat banyak naiktaraf yang dilakukan dan berikut ialah butiran tentang Mercedes-Benz C 36 AMG:

  • Diasaskan daripada model Mercedes-Benz C 280
  • Enjin asal C 280 2.8 liter enam silinder M 104 digantikan dengan enjin 3.2 liter sama seperti model E 320 (W 124)
  • Menggunakan omboh binaan khas dan pelbagai lagi modifikasi seperti pengurusan enjin, muncung semburan minyak, pemasaan injap camshaft intake dan pelbagai lagi
  • Jurutera AMG turut mengubahsuai bore daripada 89.9 mm kepada 91 mm dan stroke daripada 84 mm kepada 92.4 mm
  • Crankshaft pula dari enjin Mercedes-Benz 3.5 liter OM 605 D 35 A yang telah dilaras semula
  • Pelbagai perkakasan lain daripada model Mercedes-Benz berbeza turut digunakan seperti brek dan axle depan daripada Mercedes-Benz SL 600 (R 129). Axle belakang pula daripada model E 420 (W 124)
  • Jurutera pembangunan turut membuat larasan pada suspensi empat kelajuan automatik supaya lebih cenderung kepada prestasi
  • Kuasa enjin ialah 280 hp pada 5,750 rpm dan 385 Nm daripada 4,000 rpm hingga 4,750 rpm
  • Perubahan pada tetapan suspensi yang memberi keseimbangan kepada larasan prestasi dan keselesaan sebuah kereta sedan
  • Pengendalian yang menyeronokkan turut dibantu dengan sistem kawalan cengkaman (TCS)

Sejarah C 36 AMG kemudian dihentikan selepas lebih lima ribu unit dihasilkan pada tahun 1997. Namun legasinya diteruskan lagi dengan penawaran model baharu iaitu Mercedes-Benz C 43 AMG yang merupakan model C-Class pertama dilengkapi enjin V8.

C 36 AMG bukan sahaja merupakan kereta sedan prestasi pertama tetapi juga pemula kepada tradisi kenderaan AMG sejak 1996 sebagai kereta keselamatan Formula 1.

Selebihnya adalah sejarah dan menariknya betapa Mercedes-Benz AMG dimulakan dengan kereta lagak sleeper. Inilah jenama Jerman otai!

BACA: MERCEDES-BENZ 500E – SEDAN TERHEBAT DEKAD 90-AN HASIL GABUNGAN DUA NAMA BESAR DARI JERMAN

BACA: MERCEDES W124 WAGON INI DITALA OLEH AMG DENGAN ENJIN V8 DAN 400HP PADA TAHUN 1987

Google ads
Back to top button