
MERCEDES-BENZ DR520 – WAGON PALING EKSKLUSIF DARI MERCEDES-AMG
Selain dari Volvo, Mercedes-Benz sebenarnya tak kurang hebatnya dalam melahirkan model-model wagon. Malah mereka dah lama menghasilkan wagon dari dulu lagi sebelum muncul dengan wagon prestasi tinggi seperti Mercedes-Benz E55 Wagon 2005. Mereka kemudian meneruskan legasi performance dengan pelbagai model lain dari varian berbeza seperti C63, E63 dan E63 S.

Namun hanya sebuah model yang menjadi sangat eksklusif dan boleh dikatakan agak mustahil untuk dimiliki. Punyalah rare kalau dapat beli bukan setakat pengsan je berdiri, makan, minum, tidur, baring semuanya berdiri. Ia dinamakan Mercedes-Benz C-Class DR520!
Pengeluar ternama Jerman ini mengeluarkan sedan berkuasa ikonik C63 dengan enjin V8 pada tahun 2008 sebelum diikuti oleh model wagon. Wagon family prestasi tinggi itu mampu menjana 457 hp kuasa maksima dan mampu membuat pecutan 0-100 kmj dalam masa yang menyamai E55 AMG wagon sebelumnya.

Namun sehebat mana pun kuasa C63 wagon, ia masih belum mampu menyamai kuasa dan keistimewaan DR520. Namanya sendiri merujuk kepada kuasa maksimanya yang diuji secara dyno sekaligus menabalkannya sebagai C-Class paling berkuasa ketika itu.
Mercedes-Benz DR520 ini sebenarnya dihasilkan dalam varian sedan dan wagon. Hanya 20 unit dihasilkan dengan 5 daripadanya merupakan varian wagon. Ya, lima unit sahaja tuan-tuan. Ia diasaskan dari varian C63 dan kemudian dinaiktaraf oleh Specialist Product Division di Mercedes-Benz World, Brooklands, Surrey.
Mercedes-Benz DR520 berbeza dari C63 Estate kerana ia mempunyai kit luaran yang lebih agresif, arca roda lebih lebar, hud berbeza dan logo DR520. Bahagian dalaman agak serupa dengan model wagon standard cuma ia mempunyai sulaman “DR520” pada perehat kepala. Semua elemen kosmetik ni tak penting pun sebenarnya. Perkara pokoknya ialah kuasa maksima yang menyebabkan ia digelar DR520.

Walaupun ia menggunakan enjin yang sama dengan C63, genius-genius di Specialist Products Division telah menukar beberapa komponen enjinnya seperti aci sesondol baharu, piston-piston tempaan khas dan con rod baharu. Kini ia lebih berkuasa tapi pada masa yang sama masih seronok dipandu.
Sebagai pelengkap DR520 turut dipasang dengan cakera brek karbon dihadapan yang dan rim yang bersaiz 19 inci. Ia membolehkan gergasi ini membuat pecutan lebih baik berbanding C63 asal. LSD pula ditawarkan sebagai pilihan kepada pembeli. Nak pasang boleh tak nak pun tak apa.
Dengan hanya unit pernah diproduksikan, DR520 kekal sebagai wagon paling rare pernah dihasilkan oleh Mercedes-Benz sehingga kini.








