
5 KEISTIMEWAAN WAGON YANG TIDAK ADA PADA MODEL LAIN
Satu ketika dahulu wagon memang sangat popular. Ia digunakan untuk membawa penumpang dan boleh juga membawa barangan dengan kapasiti yang lebih besar. Kini wagon secara beransur semakin berkurangan dan digantikan dengan model crossover. Namun ada je beberapa syarikat pengeluar kereta yang asih mengeluarkan model-model wagon cuma ianya agak… mahal.
Ini kami berikan beberapa alasan kenapa wagon sepatutnya menjadi pilihan utama jika anda ingin membeli kereta. Ini bukan sembang kosong sebab saya sendiri pernah menggunakan wagon satu ketika dahulu.
- Versatiliti

Versatil bermaksud serba boleh. Ya…ini memang kekuatan sebenar model wagon. Ia menawarkan ruang dalaman yang lebih luas dan ketinggian yang sangat sesuai untuk memuatkan barangan. Ketinggiannya yang jauh lebih rendah dari SUV tidak memerlukan anda pergi ke gymnasium untuk menguatkan otot bagi memuatkan barangan ke dalam kereta wagon. Angkat sikit dan sorongkan sahaja ke dalam dan tutup pintu. Ada sesetengahnya mempunyai tempat duduk tambahan untuk penumpang jika diperlukan. SUV anda boleh ke buat macam ni?
- Dinamik
oleh sebab ia tidak setinggi model crossover, wagon mempunyai tapak graviti yang lebih rendah. Ini memang bonus kepada sistem pengendalian. Tekan je pendikit sewaktu mengambil selekoh di lebuh raya dan anda akan dapat merasai sendiri kehebatannya berbanding memandu kenderaan utiliti sukan yang lain. Naik lagi best dapatkan Audi RS8 Avant. Pergh…lazat.

- Penjimatan Bahan Api
Selain mempunyai kelegaan bumi yang lebih rendah, wagon juga mempunyai rekaan badan yang rendah sekali gus memberikan daya seretan yang lebih baik. Ia menjadi lebih aerodinamik dan semestinya lebih menjimatkan bahan bakar. Kebanyakan wagon juga adalah lebih ringan berbanding crossover dan SUV. Rendah, ringan dan aerodinamik, memang formula terbaiklah untuk penjimatan bahan api.

- Keupayaan
Keupayaan mengharungi pelbagai bentuk jalan raya dan cuaca memang penting bagi sesetengah individu tapi mampu ke model wagon menghadapi situasi seperti itu? Boleh cuma mungkin ianya agak mahal sedikit. Ada setengah memang dilengkapi dengan sistem pacuan-semua-roda contohnya Audi Allroad dan model-model Cross Country keluaran Volvo. Kami dah jatuh cinta dengan Volvo Cross Country sejak dari kemunculan VC70 Cross Country lebih 20 tahun lepas. Sayangnya harga pula menjadi penghalang cinta kami.

- Keunikan
Fakta ini memang best. Percayalah wagon ni memang satu kategori yang unik. Pergilah ke tempat pakir mana-mana pasaraya dan cuba cari kereta wagon. Kalau jumpa pun memang nasib baik. Jadi kalau anda seorang pemilik model wagon, berbanggalah sebab anda andalah spesis unik. Kalau anda memiliki sebuah wagon seperti Mitsubishi Lancer Evolution IX, anda memang sangat bertuah. Tabik boh!
