Artikel Pilihan

MERCEDES CLK GTR – KERETA BERENJIN V12 PALING GILA PERNAH DIBINA

Mercedes-AMG kini telah mengucapkan selamat jalan kepada enjin V12 mereka dan bakal digantikan dengan enjin V8 dengan bantuan elektrik. Walaupun enjin V12 masih akan kekal digunapakai pada model high-end Mercedes seperti Maybach, hakikatnya ia sudah tiada dalam senarai AMG.

Sedikit sebanyak ia agak menyedihkan kerana mereka pernah menggunakan enjin hebat ini untuk kereta-kereta terbaik keluaran mereka.

Menyebut pasal enjin V12 ini khususnya dari keluaran Mercedes, CLK GTR dan CLK GTR Roadster merupakan antara kereta paling gila pernah dihasilkan oleh Mercedes. Ia boleh dikatakan setaraf dengan Porsche 911 Strassenversion yang kemudiannya dilupakan begitu sahaja.

Sama seperti kebanyakan model hebat yang dilahirkan sekitar tahun 90-an, CLK GTR juga lahir daripada keinginan Mercedes untuk memasuki arena perlumbaan. Berbeza dengan pengeluar lain, Mercedes tidak pernah mengeluarkan supercar sewaktu sedang berlumba tetapi mereka memenuhi janji selepas itu dengan mengeluarkan supercar yang gila ini.

Sebelum itu satu perkara yang perlu diketahui ialah Mercedes cuma mengambil masa empat bulan untuk menghasilkan jentera perlumbaan CLK GTR ini. Matlamat mereka cuma satu iaitu untuk menewaskan McLaren F1 GTR dalam saingan FIA GT Championship. Selepas 128 hari lahirkan pencabar baru kelas GT1.

Menariknya Mercedes dan AMG menggunakan F1 GTR sebagai asas ujian mereka. Mereka membeli satu unit McLaren F1 khusus untuk mempelajari dan memahami apa yang harus ada pada sebuah jentera lumba GT1. Malah ia juga satu cara yang paling pantas mempelajari kekuatan musuh kerana mereka tidak mempunyai masa yang panjang.

BACA: MCLAREN KERUSI DITENGAH BAKAL KEMBALI, KELAJUAN LEBIH 391 KM/J!

Jentera lumba baru ini dikuasakan oleh enjin V12 6.0-liter yang mampu menghasilkan 600 kuasa kuda. Dengan enjin ini, rekaan badan yang aerodinamik dan beberapa orang pemandu berbakat, kereta ini telah memenangi 17 daripada 22 perlumbaan yang disertai. Untuk musim 1998, CLK GTR dengan bantuan CLK LM telah memenangi semua perlumbaan dan FIA GT Championship.

Kereta ini yang terlalu hebat sehinggakan ia menjadi punca perlumbaan GT1 ditamatkan. Untuk musim 1999, tidak ada satu pengeluar pun yang bertanding untuk siri GT1 sekaligus menjadikan CLK GTR juara yang tiada pencabar. Sedih jugak kalau macam tu.

Walaupun perlumbaan GT1 ditamatkan, Mercedes masih memenuhi janji dengan menghasilkan CLK GTR khusus untuk kegunaan di jalan raya. Dikatakan hanya 26 unit dihasilkan. 20 unit coupe dan 6 unit lagi versi roadster. Versi jalan raya ini bagaimanapun lebih berkuasa dengan enjin V12 6.9-liter yang mampu menjana 612 hp kuasa ada juga yang dilengkapi dengan enjin yang lebih gila, V12 7.3-liter dengan 655 hp. Enjin ini jugalah yang digunakan oleh Pagani untuk Zonda mereka di kemudian hari.

Sama seperti supercar lain, ia banyak berkaitan dengan nombor. Ia dihasilkan dalam kuantiti kecil, harga sekitar 1.5 juta dolar sewaktu diperkenalkan dan mampu membuat pecutan 0-100 dalam masa kurang 4 saat dengan kelajuan maksima melebihi 300 km/j. Tak hairanlah kini harganya semakin meningkat dan sentiasa terjual dengan nilai melebihi 7 angka.

Google ads
Back to top button