Buletin

VOLVO XC40 LAKU KERAS – KALAHKAN AUDI, BMW, MERC DAN RANGE ROVER

Volvo Cars sebelum dikuasai Geely bukan tidak bagus, cuma mungkin kurang dari segi penjenamaan. Apabila Volvo melancarkan XC90 baharu iaitu model pertama selepas bersama Geely, perhatian yang diberikan agak luar biasa.

Memang diakui XC90 baharu berjaya membuka semula mata orang ramai dan profesional terhadap jenama Sweden ini.

Momentum XC90 diteruskan dengan beberapa model susulan seperti S90, V90, XC60 dan SUV kompak pertama dalam sejarah syarikat iaitu XC40.

Volvo XC40 nampaknya benar-benar menjadi dan kena dengan selera pasaran. Di United Kingdom, sambutan XC40 begitu hangat sehingga jualannya dua kali ganda dari apa yang dijangkakan Volvo.

Sejak ia boleh dibeli pada penghujung Februari lepas, lebih dari 3,000 unit XC40 telah terjual di UK.

Dengan angka jualan sekitar 2,000 unit sebulan XC40 ialah model baharu paling berjaya di UK. Angka yang dicapai juga berjaya mengatasi jenama hebat lain seperti Audi, BMW, Mercedes-Benz dan Range Rover.

XC40 bukan setakat cemerlang dari segi angka jualan tetapi juga berjaya memenangi hati badan profesional apabila diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Eropah dan Kereta Tahunan Majalah What Car?

Sambutan positif terhadap XC40 sudah boleh dikesan pada peringkat awal lagi apabila model First Edition XC40 dengan produksi lebih dari 1,000 unit telah laris dijual sebelum ia sempat dihantar ke bilik pameran.

BACA: HÅKAN SAMUELSSON – CEO VOLVO INI ADALAH TOKOH KERETA DUNIA TAHUN 2018

BACA: GEELY LANCAR KERETA PERTAMA DENGAN ENJIN VOLVO PLUG-IN HYBRID 3 SILINDER

Di peringkat tempatan pula, Volvo baharu sahaja melancarkan SUV XC60 dan setakat ini tiada lagi berita mengenai XC40. Jika dipasarkan pada harga mesra pengguna, tidak menghairankan apabila jualannya juga boleh meletup di sini.

Peminat Volvo di sini tidak sedikit, cuma mereka menunggu produk yang sesuai untuk dimiliki.

Google ads
Back to top button