Artikel Pilihan

BMW PUN ADA MESIN V12 TUAN-TUAN. INILAH S70/2!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saya masih di dalam mood V12 jadi kita teruskan mengupas cerita tentang V12. Tempoh hari kita sudah mengupas tentang enjin M297 AMG V12 NA daripada Mercedes Benz. Sekarang kita pegi kepada seteru utamanya iaitu BMW. Apa ingat BMW tiada V12 ke ? Ada juga Tuan-Tuan. Perseteruan di antara Mercedes Benz dan BMW memang diketahui umum sejak dari dahulu lagi. Walaupun kedua-duanya dari Jerman.

Baiklah, apa ceritanya dengan BMW ini ?

Ceritanya bermula pada tahun 1988 lagi apabila Gordon Murray, Ketua Jurutera McLaren membuat lakaran kasar tentang sebuah “Sports Car” 3 tempat duduk. Kereta sukan 3 tempat duduk ? Memang pelik apabila mendengarnya, sebenarnya bukan pelik, tetapi unik.

Dipendekkan cerita, jentera yang nak dihasilkan ini adalah jentera ikonik McLaren iaitu McLaren F1. Antara cabaran paling sukar yang dihadapi oleh Gordon Murray adalah mencari enjin yang sesuai untuk jentera ini. Pada mulanya mereka cuba bekerjasama dengan Honda, tapi gagal. Kemudian mereka cuba bekerjasama dengan Isuzu, namun gagal juga.

Orang kata, kalau dah jodoh, memang tak kemana. Gordon Murray kemudiannya cuba bekerjasama dengan BMW. Beliau berjumpa dengan Paul Rosche iaitu seorang pakar enjin di dalam divisyen BMW M.

Apa yang Gordon Murray mahukan adalah sebuah enjin V12 Naturally Aspirated yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 550hp dengan berat enjin sekitar 250kg dan panjang enjin sekitar 600mm. Bukan itu sahaja, beliau mahukan sebuah enjin yang sangat-sangat tahan.

Tanpa berlengah lagi, Paul Rosche membuat enjin seperti yang diminta oleh Gordon Murray. Material yang digunakan pada blok enjin adalah daripada Alumunium Alloy. Begitu juga dengan kepala silinder. Hal ini adalah untuk memastikan enjin tidak terlalu berat.

Nilai Bore X Stroke pula adalah 86mm X 87mm. Dinding bagi setiap silinder diselaputi dengan “Nikasil” untuk bertujuan melindungi dinding silinder daripada calar dah haus. Material Piston yang digunakan adalah daripada Forged Alumunium.

Kepala silinder bagi enjin ini mengambil asas enjin M3 pada ketika itu iaitu enjin berkod S50. Ia dibuat daripada Alumunium Alloy dan menempatkan 4 injap bagi setiap silinder dan 2 Aci Sesondol bagi setiap kepala silinder.

Bukan itu sahaja, kepala silinder ini juga dilengkapi dengan sistem Double VANOS. Sistem ini lebih dikenali sebagai “Variable Valve Timing”. Ia bertujuan untuk menstabilkan “idling” ketika melahu. Ketika RPM tinggi, ia dikawal secara elektronik bagi membolehkan “Valve Overlap” sehingga 42 darjah, sekaligus memberikan lebih udara masuk kedalam silinder dan lebih kuasa dapat dihasilkan.

Sistem pelinciran enjin ini semestinya menggunakan sistem “Dry Sump”. Ini bagi memastikan jumlah minyak yang cukup disalurkan kepada komponen-komponen penting ketika RPM tinggi dan ketika pemanduan ekstrem.

Sistem bahanapi jentera ini terdiri daripada “Multipoint Injection”. Namun, tidak seperti enjin yang lain, enjin ini menggunakan 2 Injector bagi setiap silinder. Satu Injector diletakkan dekat dengan injap masukan, berfungsi ketika RPM rendah. Satu lagi diletakkan di laluan masuk udara, berfungsi ketika RPM tinggi. Hal ini menjadikan jumlah Injector yang digunakan adalah 24 unit.

Masukan udara pula dikawal oleh “Individual Throttle Body”. Ada 12 lobang oi ! Lubang Throttle Body ini kemudian ditutup dengan “Carbon Fibre Airbox”. Respon dia jangan cakap lah kalau gini. Kawalan campuran bahanapi dan udara dikawal sepenuhnya secara elektronik. Oh ya, enjin ini tiada “Knock Sensor”, hal ini kerana pihak BMW percaya dengan penalaan mereka, masalah “Knocking” tidak mungkin akan berlaku.

Sistem ekzos enjin ini bagi saya adalah suatu seni yang sangat indah. Lihat sahaja rekaannya, sesiapa yang melihatnya pasti terpesona. Manifold Ekzos enjin ini bertujuan membawa gas panas ke unit Catalyst yang dibuat khas daripada material “Inconel”.

Antara ciri menarik yang lain adalah penggunaan material Alumunium pada unit “Flywheel”. Punyalah serius taknak hilang power, semua nak di”ringankan”. Unit “Flywheel” ini dipadankan set klac “Racing” daripada material “Carbon” beserta “Alumunium Housing”.

Apa hasilnya Tuan-Tuan ?

618hp pada 7,400rpm dan daya kilas sekuat 650Nm pada 5,600rpm. Garisan merah diset pada 7,500rpm. Berat enjin termasuk unit ekzos dah jajan-jajan lain adalah seberat 266kg.

Lebih kuasa, lebih berat sedikit, dan mempunyai panjang yang sama seperti yang diminta oleh Gordon Murray iaitu 600mm. Habis tergamam Gordon Murray melihat hasil kerja Paul Rosche.

Antara kejayaan enjin ini adalah membuatkan McLaren F1 memecah rekod dunia sebagai jentera produksi paling laju didunia dengan kelajuan tertinggi direkodkan 386.4km/h pada 31 Mac 1998.

Siapa sangka, jenama BMW yang sinonim dengan Banyak Makan Wang pada dahulunya merupakan gergasi di dalam liga V12. Enjin S70/2 ini juga eksklusif dibina hanya untuk jentera McLaren F1. Tiada model BMW atau McLaren yang lain menggunakan enjin ini.

Namun jika kita lihat balik sejarah, BMW memang sinonim dengan enjin yang hebat. Sedangkan enjin F1 paling berkuasa sepanjang zaman pun dibuat oleh BMW dengan kod M12/13, 1.5L 4 silinder turbo yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 1,500hp. Itu pada tahun 1982 tu.

Terima kasih BMW atas sumbangan besar anda di dalam dunia Motorsport.

Google ads
Back to top button