Buletin

MFORCE LANCAR SKUTER ELEKTRIK BAHARU – YADEA E8S PRO

MForce Bike Holdings Sdn Bhd secara rasminya melancarkan sebuah model skuter elektrik baharu untuk pasaran tempatan iaitu YADEA E8S Pro.

Untuk rekod, jenama YADEA ini telah diperkenalkan di acara Malaysia Autoshow 2023 pada bulan Mei lalu.

Menurut MForce, pelancaran skuter elektrik ini juga adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menggalakkan lagi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan mobiliti elektrik di negara ini.

Selain itu, usaha Kerajaan dalam memperkenalkan inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam Belanjawan 2024 melalui pemberian rebat tunai RM2,400.00 kepada pembeli yang berpendapatan tahunan RM 120,000.00 ke bawah, juga dilihat bakal memberi kesan positif.

Tambahnya lagi, pihaknya terus komited dalam merealisasikan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang 2050.

Model YADEA E8S Pro ini hadir dengan teknologi TTFAR, di mana ia menawarkan penggunaan tenaga lebih efisien.

YADEA E8S Pro dijana oleh pek bateri Graphene 72 volt dan 38Ah dan digerakkan dengan motor elektrik 2000W, berupaya menghasilkan tork sekitar 140Nm.

YADEA E8S Pro mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport menjadikannya ideal sebagai mod pengangkutan dalam bandar.

Antara spesifikasi dan ciri-ciri lain YADEA E8S Pro termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital, brek cakera hadapan dan belakang, ruang simpanan berkapasiti 32 liter serta ketinggian pelana 740mm.

Ia hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Space Gray, Matte Sea Blue dan Black.

Model E8S Pro juga telah berjaya melepasi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan memenuhi syarat untuk didaftarkan seperti motosikal enjin konvensional.

GALERI:

Google ads
Back to top button