Motosikal

MFORCE LANCAR BRIXTON CROMWELL 1200. GAYA KLASIK, 83HP/108NM, RM55,888 SAHAJA UNTUK 100 PELANGGAN TERAWAL

Dengan tema “Ride The New Old School”, Mforce Bike Holdings yang merupakan pengedar rasmi jenama Brixton di Malaysia telah melancarkan sebuah model dengan enjin bersesaran 1,222cc iaitu Cromwell 1200. 

Jentera itu akan dijual pada harga bermula RM55,888 seunit, istimewa untuk 100 pelanggan pertama. Selepas itu, ia akan ditawarkan pada harga RM58,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Cromwell 1200 hadir dalam dua pilihan warna iaitu hitam (Backstage Black) dan hijau (Cargo Green). Ia sudah boleh didapati sekarang di mana-mana pengedar sah Brixton di seluruh negara.

Jentera berkenaan menggunakan khidmat enjin dua silinder selari, 4-lejang dan 8-injap yang mampu menjana kuasa maksimum 83hp pada 6,550rpm dan tork 108Nm pada 3,100rpm.

Dari segi teknikal, motosikal seberat 235kg tersebut menggunakan suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan jenis boleh laras di belakang. Untuk keselamatan maksimum, Brixton Cromwell 1200 dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran. 

Brek hadapan dipasang dengan dwi brek cakera jenis hidraulik, manakala brek belakang [enggu menggunakan brek cakera tunggal hidraulik. Sistem kawalan cengkaman turut dipasang yang menghalang masalah hilang cengkaman pada roda.

Model baharu itu mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport yang memberikan pengalaman tunggangan berbeza. Mode Sport membolehkan pendikit dibuka dengan lebih pantas, memberikan rasa enjin yang agresif.

Walaupun mempunyai reka bentuk vintaj klasik, Brixton Cromwell 1200 pasti memenuhi cita rasa peminat motosikal klasik berjiwa moden. 

Pelbagai aksesori tambahan turut disediakan termasuklah pada bahagian enjin yang dilindungi plat gelincir yang diperbuat daripada aluminium. Ia  membantu motosikal ini melalui jalan berbatu tanpa merosakkan enjin. 

Tangki bahan api Cromwell 1200 dipasang dengan pad yang melindungi bahagian tepi tangki daripada sebarang kesan luaran. 

Berbaloi dengan harga jualan, beg pelana berkapasiti 10-liter yang diperbuat dengan bahan kalis air 100 peratus turut disertakan . Beg berkualiti tinggi yang dijahit dengan kemas itu juga mempunyai reka bentuk kukuh yang mengekalkan bentuknya walaupun dikosongkan.

Setiap pembelian Brixton Cromwell 1200 hadir bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (mana-mana tiba dahulu), selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

GALERI

Google ads
Back to top button