
MGB GT 1979 ‘the B-EAST’ MENANG HOT WHEELS LEGENDS TOUR UK, LEBIH 8 TAHUN UNTUK SIAP!
Musim Hot Wheels Legends Tour datang lagi dan juara untuk United Kingdom (UK) sudah dipilih. Sebuah MGB GT 1979 dengan nama the B-EAST bakal mewakili UK di peringkat antarabangsa.
Mengalahkan 274 pesaing, MGB GT milik Michael Wallhead menggunakan enjin Jaguar AJV6 3.0 liter dan mampu memecut dari 0 hingga 60 batu sejam (bsj) hanya dalam 4.2 saat.
Kelajuan maksimum pula mencecah 148 bsj (238 km/j). Kereta ini memang unik kerana Wallhead menggunakan sebanyak mungkin perkakasan yang diguna semula.
Sebagai contoh, aci pemacu dari Range Rover, gandar Reliant Scimitar, badan pendikit motosikal Triumph, brek Nissan Silvia S14 dan kain jean untuk balutan kerusi.
Masa yang diambil untuk menyiapkan projek ini pula lebih daripada lapan tahun! Beliau memang gemar untuk mengguna dan mengitar semula barangan terpakai untuk kereta projek.
MGB GT adalah sebuah kereta yang cantik hasil rekaan Pininfarina dan dikeluarkan dari 1965 hingga 1980.
Model ini digerakkan enjin BMC B-Series 1.8 liter dengan transmisi manual empat kelajuan atau automatik tiga kelajuan.
Selepas menang di UK, B-EAST perlu bersaing di dalam peringkat separuh akhir Legends Tour sebelum dipilih ke peringkat akhir pada November depan. Latar belakang Wallhead pula bukan calang-calang.

Hot Wheels menjadi inspirasi buat Wallhead untuk menjadi jurutera kreatif dan beliau sekarang ini seorang pereka turbo kereta dan kenderaan komersial.
Beliau sukakan kelajuan dan pemegang rekod dunia untuk tong sampah bergerak dengan kelajuan 88.344 kilometer sejam (km/j) yang dicapai pada Mei lalu.
Di dalam pusingan UK, peringkat akhir menyaksikan sepuluh kereta terpilih di antaranya Jaguar, Ford, VW, dan Skoda termasuk sebuah Mazda RX-7 yang menjadi pilihan peminat.
Para juri pula terdiri daripada jurnalis permotoran Richard Porter, Steve Parrish dan Abigayle André, pengurus reka bentuk Hot Wheels, Craig Callum dan Paul Cowland.
Kriteria pemilihan adalah ketulenan, kreativiti dan garage spirit. Sebagai pemenang, Wallhead menerima set tayar Falken dan pek pelincir Castrol. Peserta akhir lain juga menerima hadiah dari Castrol.


