Artikel Pilihan

HOT WHEELS – APA YANG PATUT KITA KETAHUI TENTANGNYA

Ramai diantara barangkali menjadi pengumpul tentang kereta mainan berskala kecil, terutamanya dari jenama Hot Wheels. Peminat dan pengumpulnya datang dari serata dunia, tidak terhad kepada orang kita sahaja. Tapi BK yakin, pasti ramai yang tidak mengenali akan sejarah dan asal usul tentang Hot Wheels ini.

Walau pun Hot Wheels ini dikhususkan untuk anak – anak kecil, tapi apabila model sebenar kereta turut diberi keizinan buat Hot Wheels untuk dijelmakan sebagai model mainan berskala kecil, sudah pasti orang yang lebih dewasa akan menjadi peminat utamanya sekarang apatah lagi dengan pengenalan beberapa model yang rare dan popular.

Untuk yang tidak tahu, Hot Wheels ini berasal dari negara Amerika Syarikat oleh pembuat Mattel yang khusus mengeluarkan mainan kenderaan berskala semenjak tahun 1968 lagi lamanya. Mattel sendiri cukup dikenali sebagai pengeluar barang mainan yang telah pun bertapak di Amerika Syarikat semenjak tahun 1945.

Mainan Hot Wheels ini sebenarnay telah direka oleh Elliot Handler, yang merupakan antara pengasas Mattel yang kebetulan telah melihatkan anak beliau bermain dengan maian berskala kecil daripada jenama Matchbox. Iya benar tuan tuan. Jenama Matchbox terlebih dahulu berada di pasaran semenjak tahun 1953 lagi. Oh ya, suka juga untuk BK kongsikan sedikit sejarah Matchbox dahulunya mainan berskala ini dijual dan diletakkan di dalam kotak yang serupa dengan kotak mancis. Sebab itulah ianya dijual sebagai jenama Matchbox sehingga ke hari ini.

Ok berbalik kepada Hot Wheels, Elliot Handler ketika itu lebih mahukan sebuah model mainan ala hot rod (model kustom / fantasi yang menyerupai kartun yang tidaklah digemari BK) berbanding model kereta sebenar yang diperkenalkan oleh pesaing Matchbox ketika itu. Dan akhirnya ketika International Toy Fair 1968, barisan 16 buah model berskala 1/64 yang digelar The Sweet 16 telah diperkenalkan sebagai 16 buah model debut. Barisan The Sweet 16 berinspirasikan model hot rod California yang cukup popular ketika itu. Dan model pertama yang dijual adalah Custom Camaro pada Mei 1968.

Selain daripada model berskala, Hot Wheels juga sebenarnya turut dikenali dengan set trek perlumbaan berwarna jingga yang turut menjadi kegilaan anak – anak. Dia punya laju trek perlumbaan ni jangan cakaplah. Tak sempat nak berkedip mata. Tahu tahu saja dah menang. Macam fitnah dia punya laju.

Dan pasca tahun 1968 itu, pasaran untuk model berskala ini terus diterima dengan baik akan peminatnya terhadap jenama Hot Wheels ini semenjak dari itu. Daripada model kartun, model hot rod dan juga model kereta sebenar, jenama Hot Wheels ini terus menjadi buruan buat pengumpulnya. Termasuklah si Jakpor. Pantang ke Giant, mesti nak singgah jenguk di rak Hot Wheels ini

Oh ya, ingat lagi jenama Matchbox tadi? Pada tahun 1997 Mattel telah pun membeli saham Tyco Toys selaku pemilik Matchbox dikala itu. Kini, Matchbox dan Hot Wheels adalah bersaudara. Kita kawan kawan tak mahu lawan.

BACA : HOT WHEELS SAMBUT ULANGTAHUN KE-50 DI MALAYSIA

BACA : HOT WHEELS HASILKAN SUBARU IMPREZA 22B!

Google ads

B K

Back to top button