Buletin

PELUMBA DRAG PASUKAN ESR MOTOR, HATTEM RASHDI MENINGGAL DUNIA

Seorang pelumba di Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

Motosikal ditunggangi mangsa, dikenali Hattem Rashdi, 22 tahun, terbabas pada hari pertama perlumbaan, Ahad lalu di Pekan, Pahang.

Hattem yang mewakili ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Menurut Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

“Allahyarham adalah pelumba litar drag yang berbakat dan menjadi penunggang kepada ESR Motor sejak dua tahun lalu.

“Difahamkan, jentera ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas,” katanya.

Mengikut rekod, kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak. – Harian Metro

Google ads
Back to top button