Motosikal

CFMOTO 800 MT-X HAMPIRI PENGELUARAN – RIM 21-INCI, BREK BREMBO

CFMOTO bakal memperkenalkan varian terbaru bagi keluarga 800 MT kali ini menerusi 800 MT-X setelah model itu akan memasuki peringkat pengeluaran tidak lama lagi. 

CFMOTO 800 MT-X itu telah pun dipertontonkan kepada umum sebagai model konsep ketika di EICMA tahun lalu. Namun, beberapa bulan kemudian, CFMOTO telah menyiarkan pendaftaran rekaan model tersebut. 

Walaupun tidak banyak maklumat didedahkan ketika di Milan, namun umum sedia maklum 800 MT-X ini dikuasakan enjin parallel-twin KTM LC8 yang sama terdapat pada 800 MT (enjin sama yang digunakan pada KTM 790 Adventure). Untuk rekod, CFMOTO bertanggungjawab menghasilkan 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global. 

Bagaimanapun, ketika 800 MT memfokuskan kegunaan di jalan raya, 800 MT-X pula terarah kepada keupayaan ‘off-road’ seperti yang disahkan menerusi lakaran rekaan yang disiarkan. 

Menariknya, versi MT-X ini tampak lebih mirip dengan 790 Adventure dengan penggunaan casis jenis ‘tubular-steel’ termasuk susunan tangki berkembar yang berkedudukan rendah. 

Walaupun reka bentuk tangki berbeza namun posisinya masih sama bagi memastikan pusat graviti rendah agar jentera ini lebih mudah untuk dikendalikan. 

Selain itu juga terdapat mudguard yang sememangnya mirip dengan yang ada pada KTM 790 Adventure R. 

Namun, apa yang turut menarik perhatian adalah kehadiran panel meter TFT 8-inci jenis menegak seperti yang terdapat pada 800NK. Skrin kedudukan menegak sememangnya sinonim pada motosikal ‘dual-purpose’ (DP) seperti Tenere 700 dan Ducati DesertX. 

Pada masa sama, turut kelihatan penggunaan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang berbanding 19-inci depan dan 17-inci belakang pada varian 800 MT.  Namun, CFMOTO menaik taraf pakej brek kepada Brembo berbanding J.Juan. 

Dalam pada itu, CFMOTO masih kunci mulut mengenai maklumat terperinci lain termasuk pakej elektronik. Bagaimanapun, kami berasakan segalanya akan terjawab tidak lama lagi. 

Bagi yang enggan menunggu, anda boleh merisik CFMOTO 800 MT di Malaysia dengan harga jualan RM54k.

Google ads
Back to top button