
MINI COOPER ELECTRIC 2024, JARAK SEHINGGA 402 KM, RM175 RIBU DAN RM201 RIBU
Lembaran baharu untuk MINI Cooper kini dibuka dengan model generasi kelima ditawarkan dalam versi elektrik.
Cooper Electric merupakan pengganti kepada model sebelum ini yang turut ditawarkan di pasaran tempatan.
Ada dua versi yang diumumkan semasa pengenalan iaitu Cooper E dan Cooper SE yang masing-masing berkuasa 135 kW (184 hp) dan 160 kW (218 hp).

Cooper baharu menggunakan bahasa reka bentuk Charismatic Simplicity dan mengekalkan perkadarannya seperti bonet dan juntaian pendek dan jarak roda panjang.
Walaupun mengekalkan ciri asas sebuah Cooper, MINI telah membuat beberapa perubahan pada warisannya.
Sebagai contoh pembuka pintu sekata dengan badan, tiada pendakap arka roda dan ketutup sisi. Roda juga lebih besar dan tidak menggunakan perkakasan krom.

Bahagian depan menyerlah dengan bingkai jeriji bentuk oktagon dan lampu bulat yang mempunyai tiga nyalaan signatur.
Bahagian sisi pula seperti yang dinyatakan nampak ringkas tanpa pendakap arka roda dan ketutup. Meskipun janggal tanpa dua warisan tersebut Cooper kekal anggun dan bersahaja.
Bahagian belakang nampak sedikit sibuk dengan bentuk bonet dan bampar serta lampu ala mata Spiderman.

Bahagian dalam dibuat ringkas ala Mini klasik dan paling menonjol ialah skrin OLED besar dengan ukuran diameter 240 milimeter dan menggunakan MINI Operating System 9.
Fungsi MINI Intelligent Personal Assistant boleh diaktifkan melalui sapaan “Hey MINI” atau melalui butang untuk bercakap yang boleh ditekan stereng.
Ada tujuh mod MINI Experience dengan latar belakang khas dan penetapan khas iaitu Experience Core, Green, Go-Kart, Personal, Vibrant, Timeless dan Balance.

Mod Go-Kart membolehkan pemandu membuat penetapan tindak balas stereng dan had intervensi pada kawalan cengkaman untuk pemanduan lebih menyeronokkan.
Satu lagi yang menarik ialah papan pemuka melengkung dibalut dengan tekstil.
Sebagai sebuah kereta bandar, Cooper mempunyai ruang simpanan tambahan di bawah lantai bagasi. Kerusi dengan pisahan 60:40 juga membantu dan ruang bagasi mempunyai kapasiti 200 hingga 800 liter.

Dari segi pengendalian, MINI telah melebarkan trek dan jarak roda dengan penalaan pada suspensi dan sistem redaman.
Bersama brek yang berkuasa, pusat graviti rendah, pendakap topang dan cagak penstabil pra beban pada gandar, Cooper menawarkan tindak balas stereng yang jitu dan keselesaan.
Cooper ditawarkan dalam dua varian iaitu E yang dibekalkan bateri 40.7 kilowatt-jam (kWj) dan SE dengan bateri 54.2 kWj.

Ada tiga kaedah pengecasan iaitu 11 kW AC, 75 kW DC dan 95 kW DC yang bermakna pengecasan pantas dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai di bawah 30 minit.
Berikut ringkasan kuasa dan harga MINI Cooper Electric untuk pasaran United Kingdom:
|
Kuasa maksimum |
Daya kilas |
Pecutan |
Kelajuan maksimum |
Jarak pemanduan |
Harga GBP (RM) |
|
|
MINI Cooper Electric E |
184hp |
290 Nm |
7.3 saat |
159 |
305 km |
£30,000 (RM174,943) |
|
MINI Cooper Electric SE |
218hp |
330 Nm |
6.7 saat |
170 |
402 km |
£34,500 (RM201,185) |

BACA: MINI JOHN COOPER WORKS 1TO6 EDITION – HITAM ITU PREMIUM. BETULKAH?


































