Buletin

MINI CONCEPT ACEMAN BAWA BAHASA REKAAN BAHARU

MINI kini mempunyai sebuah model yang mampu mengisi kekosongan antara model Cooper dan Countryman menerusi pengenalan model Concept Aceman.

Tiada sebarang perincian mekanikal didedahkan buat masa ini, namun MINI mengesahkan versi produksi crossover elektrik ini akan muncul dalam masa terdekat.

Menggunakan bahasa rekaan baharu Charismatic Simplicity, Concept Aceman ini merupakan evolusi rekaan mini terkini yang menggandingkan minimalistik dan juga kelestarian.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4.05 meter, lebar 1.99 meter dengan rekaan rim bersaiz 20 inci.

Crossover two-box ini tidak memerlukan bukaan gril memandangkan ia sebuah EV, namun ‘gril’ kosong itu didatangkan dengan jalur LED serta panel bercahaya yang boleh memaparkan mesej tertentu, disudahi dengan unit lampu utama bersegi menggantikan lampu bulat pada model MINI sedia ada.

Unit lampu belakang pula masih lagi mengekalkan motif bendera Union Jack.

Memasuki ruang kabin, ia menampilkan susun atur yang lebih minimalis, dimulakan dengan skrin OLED tengah yang berfungsi sebagai skrin kluster dan skrin infotainmen.

Ia juga turut mempunyai ciri paparan projektor yang membolehkan informasi dipaparkan pada keseluruhan permukaan papan pemuka dan boleh disesuaikan mengikut kehendak.

Aceman tidak menggunakan sebarang bahan kulit, sebaliknya ia menampilkan bahan tekstil kitar semula diikuti dengan roda stereng balutan velour hijau.

Selain itu, Aceman juga turut mempunyai sistem pencahayaan luaran tersendiri yang akan bercahaya dan memainkan bunyi tertentu bergantung kepada jarak individu dengan kenderaan, serta apabila pintu dibuka.

Model konsep Aceman ini akan membuat kemunculan umum pertama di konvensyen permainan video Gamescom di Cologne, Jerman pada 23 Ogos ini.

Google ads
Back to top button