Buletin

MINYAK ENJIN SHELL HELIX TULEN DENGAN LABEL ‘UNTUK PASARAN MALAYSIA’ – ELAK MASALAH PRODUK CETAK ROMPAK

Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. (Shell Malaysia) memperkenalkan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ yang baru untuk produk-produk Shell Helix tulen khas buat pasaran Malaysia.

Rangkaian produk Shell Helix itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Basaruddin Sadali.

Label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ baru akan ditampilkan pada lima produk Shell Helix terlaris iaitu:

  1. Shell Helix Ultra 5W 40 (4L)
  2. Shell Helix HX7 10W 40 (4L)
  3. Shell Helix HX7 5W 30 (4L)
  4. Shell Helix HX5 10W 30 (3L)
  5. Shell Helix HX5 15W 40 (4L).

Kelima-lima produk Shell Helix tersebut diadun dan dipek di Shell Lubricants Oil Blending Plant di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Label baru di bahagian hadapan boleh dikoyak untuk mendedahkan kod QR unik bagi tujuan pengesahan ketulenan produk dengan segera. Manakala label di belakang menampilkan maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Kod QR itu membolehkan pendaftaran mudah untuk program ganjaran Shell Advantage Rewards (SHARE) yang memberikan pelbagai ganjaran kepada pelanggan. Ini termasuklah bonus pendaftaran, Waranti Enjin Shell Helix (SHEW) dan produk Shell Helix percuma (tertakluk kepada terma dan syarat).

Menurut Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain, langkah tersebut merupakan pelaburan strategik oleh syarikat untuk melindungi kepentingan pemilik kereta dan rakan niaga dengan membolehkan mereka mengenal pasti produk tulen.

“Kewujudan produk palsu di pasaran menjejaskan keyakinan pelanggan dan membawa kesan negatif kepada perniagaan rakan niaga kami. Keputusan memulakan pengeluaran tempatan bagi produk rasmi Shell Helix tulen yang khusus untuk pasaran Malaysia membolehkan pengecaman produk tersebut dengan pantas. Menerusi label ‘Untuk Pasaran Malaysia’, ia menjadi langkah yang penting untuk menangani isu ini,” katanya.

Shairan menambah bahawa tiada sebarang perubahan kepada formulasi minyak enjin Shell Helix yang dibuat untuk Malaysia. Justeru, pelanggan akan terus menikmati prestasi enjin yang terunggul, walaupun dalam keadaan pemanduan lasak.

Pengenalan produk Shell Helix dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ dijangka disempurnakan menjelang Januari 2019.  Dalam tempoh peralihan ini, produk rasmi Shell Helix tulen dengan label lama masih berada di pasaran dan boleh disahkan ketulenannya menerusi kod produk yang unik pada label.

Minyak enjin rasmi Shell Helix tulen bagi pasaran Malaysia ini boleh dibeli dari bengkel jenama Shell Helix, bengkel terpilih yang berurusan dengan pengedar Shell yang berdaftar dan cawangan stesen runcit Shell.

Produk tersebut juga boleh didapati melalui kedai online rasmi Shell Malaysia dalam talian Lazada Malaysia, 11street dan Shopee.

Maklumat lanjut mengenai cawangan stesen runcit Shell Helix berdaftar yang berhampiran, layari www.shell.com.my/helix atau hubungi khidmat pelanggan Shell di 1300 88 1808.

Google ads
Back to top button