RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH SUZUKI KIZASHI
Salam sejahtera buat semua pembaca Mekanika yang budiman. Nama aku, Suzuki Kizashi. Di Jepun dulu, biasanya kawan – kawan panggil aku dengan nama Zashi.
Cuma adalah sesekali budak – budak nakal mengejek aku dengan panggilan nama Juki. Ejek jenis panggil nama bapak ni tidak hanya wujud di Malaysia, malah wujud juga di Jepun sebenarnya. Dah bunyi jawa pun ada. Pada hal aku ini sikit pun tak ada langsung berdarah jawa. Geram aja aku. Aku ni Jepun sejati ok. Jepun sejati.
Sebelum kelahiran aku sebagai Suzuki, jujurnya aku berdoa jugalah, setidaknya kelahiran aku nanti dijadikan sebagai Suzuki Swift paling koman. Tapi dalam pada tu, puas jugalah berdoa, janganlah aku nanti dijadikan pula Suzuki Best. Haru juga nanti dibuatnya.
Apa pun aku bersyukur sangat apabila bapa ku, Suzuki akhirnya memutuskan aku untuk dijadikan sebagai Kizashi, di Kilang Sagara, Shizuoka pada Oktober 2009.
BACA : SUZUKI KIZASHI 2.4L SPORT EDISI TERHAD
Sebagai sebuah model Segmen D, ternyata ianya adalah suatu percaturan yang berani apatah lagi untuk bersaing dengan gergasi Jepun seperti Honda dan juga Toyota.
Apatah lagi, Suzuki sebelum ini hanya dikenali dengan model bersaiz kompak dan bukannya sebuah sedan yang bersaiz besar seperti Honda Accord atau pun Toyota Camry.
BACA : BIMS 2018: SUZUKI SWIFT – KERETA ECO DENGAN TEMA MOTOGP SUZUKI ECSTAR
Sungguh pun demikian, apabila melihatkan diri ku di hadapan cermin, keyakinan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pesaing cukup tinggi jugalah kiranya. Paras rupa aku boleh tahan. Bolehlah main angkat-angkat kening kalau kalau terserempak di tempat meletak kereta kan? Cuma saiz aku ini barangkali sedikit kecil berbanding kereta sekelas denganku..
Dari segi spesifikasi pun aku tidak kurang hebatnya juga. Jantung aku menggunakan enjin bersesaran 2.4 liter dengan kuasa 176hp dan tujahan 230Nm.
Dipadankan pula dengan kotak gear CVT enam kelajuan, aku mampu memecut sehingga ke angka 205 km/j. Dari segi keselamatan pun masih orait juga sebenarnya. Aku mempunyai brek ABS, EBD, dan juga ESP (Electronic Stability Programme) dan tidak lupa juga enam beg udara.
Aku mula menjejakkan kaki ke bumi bertuah Malaysia ini pada Mac 2012. Masa tu berdebar jugalah nak berhadapan dengan bakal pembeli. Tanda harga aku ketika itu lebih kurang RM147,000. Agak mahal juga sebenarnya. Kekuatan aku lebih bersandarkan kepada rupa bentuk aku yang sporty berbanding pesaing lain dengan rupa yang lebih kelihatan bos-bos.
Namun, persaingan ternyata cukup sengit. Hanya pembeli yang benar – benar mahukan kelainan dan mempunyai jiwa orang kata, akan membeli aku. Iyalah, bukan setakat bersaing dengan buatan jenama Jepun, buatan jenama Korea pun tidak kurang hebatnya juga di kala itu.
Akhirnya aku akur. Di sebalik reputasi aku yang memperolehi 5 bintang untuk ANCAP, pembeli masih sukar untuk menerima kehadiran aku sebagai Suzuki Kizashi. Ke-tidak-laku-an aku bukan sahaja di Malaysia mahal carta jualan aku peringkat global juga tidak begitu baik.
Aku mula dikeluarkan daripada pasaran setelah beberapa tahun di pasaran dengan hanya India dan Pakistan sahaja yang menjualnya, Itu pun slow juga.
Akhirnya tiada lagi produksi baharu dan pengganti aku juga tidak mungkin muncul. Biarlah Suzuki dengan Swift-nya sahaja. Kan?