
MITSUBISHI LANCER 1.5 YANG DISUMPAH JADI EVOLUTION 6
Lepas berjaya membina jentera idaman, apa lagi yang boleh memberi kepuasan kepada kau sebagai kaki kereta?
Masuk mana-mana pertandingan mungkin. Walau tak menang sekali pun, untung-untung terpilih untuk disiarkan dalam majalah.
BACA: PROJEK LANCER GT – EVO X!
“Tengok abah main kereta dulu. Siap masuk majalah lagi. Bukan macam acik kau,” kata si polan kepada anaknya yang berusia 6 bulan.
Namun bilangan penerbitan yang semakin kurang, menyempitkan peluang untuk segera dipilih. Lama kelamaan, semangat untuk mencapai impian tersebut mula terbantut sekerat jalan. Nak patah balik tak berbaloi. Sudahnya, ia terbiar berlumut di bawah selimut tanpa kasih sayang.
BACA: EVO III IMPIAN ANAK MUDA
Subjek kali ini berkisar tentang sorang remaja bangka bernama Iz, yang mengidam teruk nak tengok Lancer CK miliknya terpahat di dada majalah. Sebetulnya dah lama siap, cuma segan dengan kondisinya yang kurang sempurna. Memandangkan ia sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan, tidak menjadi salah jika rasa mengidamnya itu ditunaikan.
Yang paling elok pada kereta ini tentulah penampilan luarnya. Kembang lagi sado, hasil pemasangan kit badan lengkap EVO VI TME. Bagi memberi aura tambahan, beberapa komponen jenis karbon fiber telah diguna sama, seperti hood, fender, cermin sisi RalliArt, juga spoiler ampaian baju yang tergantung tegak pada boot belakang.
BACA: EVO III CRUISE POWER
Lampu belakang merupakan komponen aftermarket dari Sonar. Manakala lampu depan sebelah kiri telah diubahsuai untuk menempatkan unit projektor dan corong udara kustom.
Tingkat taraf seterusnya ditujukan kepada sistem gantungan, yang kini menggunakan set suspensi jenama Ohlins. Premium sangat tu! Sistem brek Brembo yang datang bersama halfcut, disalin terus tanpa banyak soal.
Paling menjolok mata, rim Advan RG selebar 9.5-inci yang menghuni ruang rodanya. Tak pasal-pasal kena pakai tayar gemok bersaiz 255/40ZR-17. Kembang bebenor tu yeop!
Ketika dibeli, kereta ini hanya dijana oleh enjin 1.5-liter dengan kotak gear tiptronik. Sebab ia kereta projek, enjin tersebut segera digantikan dengan siri 4G63T dari EVO VI TME, yang tentunya lebih lazat berbanding generasi lain. Jenuh jugak nak jumpa!
Selain camshaft Tomei Poncam berdurasi 260°, pemasangan enjin ini turut disertakan dengan peningkatan pada sistem pendesak. Unit turbo TD05RA 16G yang asal terus dikekalkan dan digantung pada sebuah manifold turbo kustom, lengkap bersama wastegate dari Tial.
BACA: PROTON PREVE EVOLUTION
Sambungan ke bahagian intercooler HKS Type S dibuat menggunakan paip jenis aloi. Manakala lebihan boost yang tidak digunakan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Penyampaian bahan api diserahkan kepada pam petrol Walbro beserta regulator dari Works Engineering. Kuasa cucuhan pulak, menggunakan kit COP dari enjin K20A. Memastikan perjalanan enjin berlangsung lebih sempurna, unit ECU telah diprogram semula mengikut spesifikasi talaan RalliArt.
BACA: LANCER EVO RALLIART
Jangkaan ia merayap dengan drive shaft 4 batang ternyata meleset. Kotak gear yang digunakan, rupanya telah dikunci menjadi pacuan depan sebelum dilapik set klac Ogura Racing. Jimat minyak katanya. Bahagian ekzos pulak menggabungkan paip kustom 3-inci dengan muffler Apexi di hujungnya.
Belah dalam menggabungkan komponen milik CK dan EVO di bahagian tertentu. Papan pemuka dengan meter kaler merah tu diambil dari EVO VI. Kemudian ada stereng dari Sparco, serta set tempat duduk Recaro SR4. Aspek pemantauan pulak dibantu deretan meter Defi, serta unit pengawal boost dan meter kuasa Blitz ID. Memudahkan proses tujahan boost, butang scramble telah Iz tanam betul-betul di atas tombol gearnya. Elok jugak!
Lama sangat ngidam, dan hasrat Iz untuk melihat kereta ini terpampang di dada majalah akhirnya berjaya direalisasikan. Harap Iz kembali bersemangat untuk menghadiahkan Si Kembang ini dengan jajan baru yang menarik…
Spesifikasi
Pemilik Mohd Izdihar Rustam
Pengeluar Mitsubishi
Model Lancer CK2A
Tahun 1996
Enjin asal 4G15
Modifikasi Enjin 4G63T EVO VI TME, camshaft Tomei Poncam 260°, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm, intercooler HKS Type S, paip intercooler aloi, injap pelepas HKS SSQV, penapis udara K&N, radiator aloi, pam petrol Walbro, regulator Works Engineering, kit COP K20A, ECU reflash RalliArt
Transmisi Kotak gear manual pacuan depan, set klac Ogura Racing
Ekzos Paip kustom 3-inci, muffler Apexi
Luaran Kit badan lengkap EVO VI TME, hood, fender, cermin sisi RalliArt & spoiler GT karbon fiber, lampu belakang Sonar, lampu depan kiri kustom
Suspensi Ohlins
Brek Brembo
Rim & Tayar Advan RG 17-inci & Bridgestone 255/40ZR-17
Dalaman Papan pemuka EVO VI, stereng Sparco, tempat duduk Recaro SR4, meter Defi, pengawal boost & meter kuasa Blitz ID, tombol gear RalliArt, butang scramble kustom
Bengkel Kawan-kawan
-PAK MAUN-
GALERI