Modifikasi

RAHSIA PREVE DENGAN KUASA EVOLUTION!

Bagi membentuk persepsi sebagai pengeluar kereta nasional yang ‘dare’ untuk bersaing, Proton telah memperkenalkan model serba baharu Preve pada tahun 2012. Ia bagi menggantikan model Lancer Inspira, yang dikritik kerana mengamalkan polisi tukar logo seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini. “Kalau asyik tukar logo jer, sampai bila pun tak maju,” kata Sinopal sambil mengusap helmet copy ori gred AAA yang baru dibeli.

Untuk dua tahun pertama, jumlah jualan Proton telah melonjak secara mendadak, sekaligus membuktikan yang model terbaharu ini mudah diterima ramai. Cuma bila terlalu lama tanpa pembaharuan, ia mula menjadi sendu berbanding jenama lain yang lebih kompetitif. Nak harap sokongan dari Sinopal tadi? Ajak sembang bolehlah…

Walaupun dilengkapi enjin bersiput jenis CamPro CFE, keupayaan enjin ini akan mula terasa lemau, lebih-lebih lagi di kalangan pengguna berkaki berat seperti Rain.

Maka lahirlah pelbagai kaedah naik taraf, bagi meningkatkan kemampuan kuasanya. Memandangkan ia bukan sebuah enjin yang femes, pilihan komponen yang boleh digunakan agak terhad, selain melibatkan kos yang jauh lebih tinggi.

Lepas bosan menunggu perkembangan yang sangat perlahan, Rain akhirnya mengambil keputusan untuk menggantikan enjin tersebut dengan dengan nadi Mitsubishi 4G63T yang lebih terbukti. Dulu-dulu mungkin susah nak agak cara mana ia boleh dimasukkan. Tapi bila ramai yang dah berani menunjuk jalan, proses yang terlibat menjadi lebih mudah tanpa perlu bereksperimen macam tikus makmal.

Kemasukan enjin ini datang dengan sedikit tingkat taraf, khususnya di bahagian sistem pendesak. Unit turbo TD05HRA masih dikekalkan dan digantung pada manifold turbo kustom bersama wastegate Turbosmart CompGate40. Boost yang terbentuk kemudiannya disejukkan oleh unit intercooler, lengkap dengan paip sambungan kustom. Sementara lebihan boost yang tidak digunakan, akan dibawa keluar menerusi injap pelepas GReddy.

Sistem suapan petrol asal sudah memadai untuk menghantar bekalan. Kuasa cucuhan bagaimanapun diubah menggunakan set COP dari enjin K20A. Bagi menghasilkan tujahan kuasa lebih sempurna, perjalanan enjin ini kini diselia sepenuhnya oleh unit ECU Link 4G+.

Preve memiliki rupa yang agak gomok, walaupun dalam keadaan standard. Bagi membentuk gaya lebih mantop, ia kini dipadankan dengan kit badan kustom ala Varis yang jauh lebih kembang. Termasuk dalam pakej ini adalah binaan corong udara, hood dan splitter belakang kustom, lip depan R3, spoiler GT Voltex, serta pemasangan unit sunroof dari Toyota Camry.

Sesuai dengan rupanya yang makin sado, ruang roda diisi rim 18-inci jenis Enkei RPF1 dan dibalut pada tayar Rovelo Road Racer R1 dari saiz 235/40R-18. Sementara kuasa hentian, menerima set brek 4-pot Toyota Aristo di bahagian depan. Memastikan sektor pengendalian lebih sempurna, keseluruhan sistem gantungan kini digantikan dengan set suspensi boleh laras ZerOne SSR700.

Ruang dalam masih mengekalkan susunan komponen asal. Benda dah sedang elok, nak bikin apa lagi. Rain hanya menggantikan tempat duduk depan dengan sepasang SSCUS Viper berwarna merah. Baru nampak kepit. Tambahan lain melibatkan penggunaan meter GReddy, stereng mangkok OMP, serta tuas gear kustom ala K-Tuned.

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA.COM

Tags
Google ads
Back to top button