MV AGUSTA – APA SEBENARNYA MASALAH SYARIKAT NI?
Antara tahun 1952 dan 1974, pelumba pelumba MV Agusta telah memenangi 38 perlumbaan motosikal dunia termasuklah 17 kemenangan secara berturut GP 500 oleh John Surtees, Gary Hocking, Mike Hailwood, Giacomo Agostini dan Phil Read. Sekitar penghujung 60-an, MV Agusta cukup berkuasa dalam kesemua kelas sehingga Honda terus menarik diri.
Malah ketika itu jentera Agusta 500 adalah cukup dominan dan menjadi motosikal paling popular di seluruh dunia. Pada awal tahun 50-an, Count Domenico Agusta telah memeterai perjanjian dengan Bell Helicopters untuk menghasilkan produk syarikat Amerika itu khusus untuk pasaran Eropah.
Agusta membuat keuntungan dengan penjualan helikopter dan menenggelamkan perusahaan motosikal mereka. Tapi Count Agusta sebenarnya masih meminati motosikal khususnya pasukan lumba beliau yang mempunyai hubungan dengan Enzo Ferrari. Selepas beliau meninggal pada tahun 1971, pasukan lumba beliau telah berkubur dan keseluruhan divisyen motosikal ditutup pada tahun 1977.
Agusta semakin aktif dalam perniagaan helikopter tetapi jenama motosikal mereka terus sunyi sepi sehinggalah pada awal 1990, Claudio Castiglioni (pengasas Cagiva dan bekas pemilik Ducati) mengumumkan yang beliau telah membeli MV Agusta. Selepas beliau menjual Ducati kepada Texas Pacific Group dalam tahun 1996, Castiglioni menggandakan usaha untuk menghidupkan kembali MV Agusta.
Ramai yang agak skeptikal dengan idea tersebut tetapi Castiglioni telahpun menandatangani kontrak bantuan kejuruteraan dengan Ferarri dan mendapatkan khidmat Massimo Tamburini (pereka Ducati 916 yang ikonik) untuk menghasilkan sebuah MV Agusta moden. Tamburini menghasilkan F4 750 pertama pada tahun 1997 dan serta merta dikatakan sebuah motosikal tercantik yang pernah dihasilkan. Ia bukan hanya cantik tetapi juga cukup laju.
Claudio Castiglioni kemudian mewariskan MV Agusta kepada anaknya Giovanni akibat masalah kesihatan. MV Agusta kemudian telah dijual kepada Harley Davidson pada tahun 2008 dan Giovanni terus bekerja dengan MV Agusta dan berada di bawah seliaan CEO Harley, Matt Levatich.
BACA: INDIAN MOTORCYCLE FTR1200 – MOTOSIKAL FLAT TRACK YANG CUN!
Tapi hubungan Agusta dengan Harley tidak bertahan lama kerana kegawatan ekonomi yang melanda Harley ditakuti akan menyebabkan mereka menjual MV Agusta. Castiglioni membeli kembali MV Agusta dari Harley Davidson dan melabur sejumlah USD20 juta lagi untuk menghasilkan jentera 675cc – sebuah projek yang diilhamkan oleh Levatich. MV Agusta berwajah baru sekali lagi membuat penampilan pada tahun 2015.
Kini MV Agusta bangkit kembali bukan untuk menyaingi Honda ataupun Yamaha tetapi mereka berhasrat untuk mempelbagaikan lagi varian motosikal mereka termasuk model entry level. Jika sebelum ini mereka hanya mengeluarkan 2000 unit motosikal setahun, kini dengan pelaburan mesin-mesin baru, ia berjaya ditingkatkan kepada 3000-10000 unit.
MV Agusta juga menerima suntikan pelaburan baru dari jutawan Rusia, Timur Sadarov melalui firma pelaburan Balck Ocean milik beliau. Dikatakan Sadarov menguasai 49 peratus pegangan MV Agusta dan selebihnya 51 peratus masih kekal milik keluarga Castiglioni.
Falsafah baru Castiglioni senang sahaja, “Sell less, sell better”. Maksudnya walaupun hasil jualan tidak setinggi sebelumnya tetapi dengan kawalan kualiti yang lebih baik terbukti lebih memuaskan hati pelanggan tidak seperti sebelumnya. Malah pulangan yang diterima juga hampir setimpal walaupun terdapat pengurangan dari segi jualan.
Mereka bukan hanya fokus kepada model baru dan pembuatan tetapi juga kepada rangkaian pengedar di seluruh dunia. Bukan mudah untuk menaikkan nama produk yang kejap ada kejap hilang.
Jika semuanya berjalan lancar, MV Agusta akan melancarkan model baru mereka tahun depan. Ia merupakan sebuah model hyper-naked (bahaya kalau terjemah terus ni) dengan enjin 1,000 sebaris empat. Ia dikatakan akan menjana 200 dan dihasilkan sepenuhnya menggunakan bahan komposit.
Jika sekarang mereka sudah menyertai WSBK, tahun depan MV Agusta akan menyertai Moto2 menggunakan enjin tiga-selinder yang dibekalkan oleh Triumph. Nantikan sahaja kebangkitan MV Agusta nanti.