Buletin

MITSUBISHI SUPER HEIGHT K-WAGON CONCEPT – TINGGI DAN RUGGED

Kebiasaannya kita diberitakan tentang kei-car iaitu kereta kecil di pasaran Jepun. Selain kei-car, ada sebuah lagi kenderaan kecil yang dikenali sebagai kei-wagon.

Di antara model kei-wagon ialah Mitsubishi eK X/Wagon dan Nissan Dayz yang kedua-duanya ada model sama kecuali reka bentuk.

Mitsubishi eK X dan eK Wagon adalah model yang baru dijual di Jepun pada Mac 2019. Di sana ada sebuah lagi kei-wagon yang dikenali eK Space dan ia sedikit tinggi berbanding eK Wagon.

Pada bulan Oktober lalu sempena Pameran Kenderaan Tokyo 2019, Mitsubishi mempertontonkan pula SUPER HEIGHT K-WAGON CONCEPT.

Dari segi reka bentuk, kereta konsep kei-wagon ini berbeza dengan eK X dan wagon yang dijual pada Mac lalu.

Bahagian depan mirip eK X dengan gaya Dynamic Shield manakala sisi dan belakang berbeza.

Menurut Mitsubishi, model ini dibuat untuk pemandu yang mahu pergi ke pelbagai destinasi dan jarak lebih jauh. 

Nama super height itu mewakili ruang untuk sebuah kei-wagon sepertinya dengan gabungan reka bentuk SUV keluaran Mitusbishi.

Jika bahagian depan mirip eK X, sisi model konsep ini berbeza sama sekali. Garisannya berkotak dan tampak lebih rugged.

Walaupun bersaiz kecil, Mitsubishi membina bahagian penumpang untuk keluarga. Bukaan pintu dan ruang kaki terbesar dalam segmen untuk keselesaan penumpang.

Untuk enjin, Mitsubishi belum mendedahkannya dan jika dirujuk pada eK X, ia menggunakan enjin turbo 660cc berkuasa 52PS pada 6,400rpm dan tork 60Nm pada 3,600 rpm.

Teknologi keselamatan pula canggih dengan e-Assist.

Teknologi yang digunakan ialah MI-PILOT untuk bantuan pemanduan di laluan tunggal di lebuh raya, sistem pembrekan untuk mengelak kemalangan dan bantuan mengelak daripada tersalah pijak pedal minyak.

Teknologi MI-PILOT sebenarnya turut digunakan pada eK X dan eK Wagon yang diperkenalkan sebelum ini.Walaupun Mitsubishi menamakan SUPER HEIGHT K-WAGON sebagai sebuah kereta konsep, ianya nampak seperti unit produksi yang sudah siap untuk dijual.

Menarik kan kereta begini? Selepas Perodua Kenari, pasaran tempatan sudah tidak dihidangkan lagi dengan kereta kompak tinggi.

Paling hampir ialah Honda N-Box yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Kredit foto: Mitsubishi

Galeri Mitsubishi eK X dan eK Wagon:

Google ads
Back to top button