
MODEL KONSEP GENESIS X GRAN CONVERTIBLE – DEFINASI BAHARU UNTUK SEBUAH CONVERTIBLE MEWAH
Pengeluar kenderaan mewah berasal Korea, Genesis telah memperkenalkan model konsep terbaharu mereka, Genesis X Gran Convertible dan Genesis X Gran Coupe yang dibina berdasarkan model perdana Genesis G90. Kedua model ini mendefinasi semula bagaimana sebuah model mewah yang ingin dihasilkan pada masa hadapan.
Genesis telah memberikan tafsiran baharu untuk kedua model konsep ini dengan seni bina badan yang paling eksklusif dan unik dalam segmen mewah untuk model konsep Genesis X Gran Coupe.

Manakala satu lagi tafsiran baharu turut diberikan hasil daripada model Genesis G90 untuk model Genesis X Gran Convertible yang menawarkan kebebasan bersuara dan pengalaman bumbung terbuka yang lebih tinggi, yang membolehkan sambungan terus dengan persekitaran sekeliling.
Menurut Ilhun Yoon selaku Ketua Reka Bentuk Genesis yang berpusat di Seoul, setiap model konsep yang dihasilkan adalah ekspresi unik etos mewah Genesis yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang canggih dan mengasyikkan.
Di bahagian hadapan, kedua-dua konsep menampilkan ciri-ciri lampu depan Dua-Baris Genesis, yang memanjang ke arah Kisi Crest ikonik jenama itu. Jeriji hadapan tiga dimensi diinspirasikan daripada tenunan tali logam, disusun dalam corak ‘Two-Line’ yang berani dan berbentuk berlian.

Saluran kemasukan udara di bahagian bawah gril yang lebar dengan jeriji berukir menekankan gaya dan imej yang sporty untuk model X Gran Coupe dan X Gran Convertible. Manakala bonet yang memanjang untuk kedua – dua model konsep ini memberikan siluet yang dinamik.
Kedua-dua konsep menampilkan cermin depan yang lebih curam dan garis bumbung yang lebih cetek, mencipta siluet berani. Pintu tanpa pilar telah dipanjangkan untuk menghasilkan profil yang lancar dan memanjang, dengan tingkap tanpa bingkai meluncur ke bawah sepenuhnya, membentuk profil sisi yang dramatik dan elegan.
Untuk X Gran Coupe garisan bumbung telah disepadukan secara visual manakala untuk X Gran Convertible garisan sisi telah diperpanjangkan untuk membahagikan bahagian badan daripada bumbung soft-top.

Bahagian belakang menampilkan ciri yang moden dan canggih dengan penggunaan logo Flush Genesis serta kamera pandang belakang yang boleh disembunyikan manakala but mempunyai operasi tanpa sentuh menggunakan gerak isyarat tangan yang mudah sekali gus menghapuskan keperluan butang fizikal.
Bahagian kabin X Gran Convertible ini menampilkan rona warna Grape Blue untuk cukup elegan dengan penggunaan bahan premium di bahagian tempat duduk di hadapan dan belakang. Tempat duduk belakang juga dilengkapi paparan skrin untuk kegunaan penumpang belakang.
BACA : GENESIS G90 LONG WHEEL BASE – INI BARULAH KERETA UNTUK BOS BOS!
BACA : GENESIS G80 2025 – SEDAN MEWAH JENAMA KOREA YANG NAK LAWAN DENGAN SEDAN DARI EROPAH

