
FERRARI TESTAROSSA DENGAN STEROID – HASILNYA IALAH 1000 HP PADA TAHUN 80AN
Ferrari telah memperkenalkan F40 pada tahun 80an. Ianya berwarna merah dengan rupa paras perlumbaan dan merupakan hasil lakaran Pininfarina sebelum disiapkan oleh Nicola Materazzi dari Ferrari. Sayangnya ia dibeli oleh sebilangan pelanggan yang memandangnya sebagai pelaburan masa depan dan bukannya untuk dipandu.

Malah menjelang dekad 90an dianggarkan hanya 10 peratus pemilik F40 yang betul-betul memandunya. Selebihnya sekadar disimpan untuk tuaian tunai yang lumayan bila sampai masanya. Hampeh betul.
Syukurlah muncul sebuah syarikat tuner Jerman yang dinamakan Koenig. Mereka membeli beberapa unit Testarossa dan mengubahsuainya sehingga menyerupai F40 tapi dengan dua kali ganda kuasa!

Kereta yang dimaksudkan bernama Ferrari Testarossa Koenig Specials Competitione Evoluiton II. Fuh, panjang betul namanya.
Testarossa asal memang dah cukup cantik dan memang menjadi model poster dekad 80an. Hampir 10,000 unit dihasilkan menjadikannya antara model Ferrari paling popular.
Dalam keadaan stok, Testarossa menggunakan enjin Tipo F113 4.9 liter flat-12 dengan 385hp kuasa maksima. Pecutan 0-100kmj hanya memerlukan 5.8 saat dengan kelajuan maksima 290 kmj.

Namun ia tidak mencukupi untuk Willy Koenig yang merupakan bekas pelumba dan pemilik Koenig. Beliau telah menambah dua pengecas turbo KKK (bukan beli kat KK Mart deh), dua intercooler sisi, sistem pengurusan enjin MoTec paling canggih ketika itu dan sistem ekzos prestasi tinggi dengan dua paip yang menyerupai rekaan paip ekzos F40.
Kotak gear manual lima kelajuan menghantar kuasa ke tayar belakang dengan bantuan LSD. Ia juga dilengkapi set penyerap hentak Koni, spring H&R, cakera brek AP Racing dan rim 17 inci custom. Tayar juga bukan kaleng-kaleng dan bukannya keluaran linglong atau pun tingtong.
Hasilnya ialah 1,000 hp kuasa maksima dengan kelajuan tertinggi 370 kmj. Ingat merupakan kelajuan dekad 80an. Ia menyamai kelajuan model Halo Ferrari ketika itu, F40. Bodykit pun hampir sama.

Harganya? Tak mahal. Hanya USD1.5 juta pada dekad 80an. Korang kiralah sendiri berapa nilai duit kita.
Jadi dah bayar mahal-mahal mesti la sistem keselamatan cukup canggih macam Myvi full spec bini abang kan? Salah besar. Zaman tu semua benda alah tu tak wajib pasang pada sesebuah kereta. Jadi raksasa Ferrari ini tak ada sistem kawalan cengkaman, tak ada sistem kawalan kestabilan dan jauh sekali ABS. Ia hanya untuk pemberani dengan kawalan pemanduan terbaik macam juara rali antarabangsa Mentakab 48 jam!

