
MORGAN SUPERSPORT – MODEL FLAGSHIP TETAPI TAMPIL DENGAN IMEJ RETRO KLASIK
Morgan, barangkali tidak ramai yang mengenali akan pembuat kenderaan yang berasal dari Britain ini yang lebih dikenali dengan model kereta sport klasik. Bagi meneruskan legasi pembuatan model kereta sport dengan reka bentuk klasik sedari tahun 1910 lagi, Morgan telah memperkenalkan model Supersport, sebuah model yang dianggap sebagai model flagship terkini mereka.
Morgan Supersport ini menandakan permulaan lembaran baharu yang menarik untuk Morgan dengan model flagship yang mencerminkan semangat dan keyakinan jenama mereka pada hari ini. Morgan Supersport merangkumi gabungan prestasi dinamik yang mudah – terima kasih kepada platform aluminium baharu ‘CXV’ yang ringan.

Walau pun menampilkan rekaan ala kereta klasik, namun siluet Morgan Supersport ini menampilkan reka bentuk yang lebih aerodinamik sekali gus memberikan prestasi yang boleh diharap.
Bahagian panel badan Morgan Supersport yang diperbuat daripada aluminium dengan menggunakan tenaga kerja mahir menggunakan tangan dengan hasil kerja yang cukup memukau dan sempurna. Bahagian hadapan tampil dengan rekaan lampu utama bulat LED yang kelihatan cukup klasik dengan gril berbentuk U serta hud hadapan yang berkeluk dan memanjang, suatu ciri klasik yang cukup ketara.

Dengan garis bahu yang cukup ketara seolah kembali ke era model pertama Morgan beroda empat pada tahun 1936. Untuk rim, buat pertama kalinya Morgan telah membina paling ringan untuk saiz 18 inci, cuma seberat 10.8 kg sahaja manakala rim bersaiz 19 inci Aerolite, hanya seberat 9.7 kg setiap satu.
Model yang dikeluarkan melalui kilang pemasangan Morgan di Pickersleigh Road ini memggunapakai enjin enam silinder sebaris daripada BMW B58 TwinPower Turbo yang diambil daripada model Z4 ini mampu menghasilkan kuasa 335 HP bersama padanan kotak gear auto lapan kelajuan. Ianya mampu memecut 0 ke 100 km/j hanya dalam tempoh 3.9 saat. Tetapi percayalah, kereta dengan penggayaan retro sebegini tidak akan dipandu laju serupa orang gila. Pemiliknya mungkin hanya mahu dilihat santai dan bersahaja ketika lampu isyarat bertukar warna hijau.

Morgan Supersport ini juga telah didatangkan dengan Dynamic Handling Pack yang menampilkan peredam Nitron depan dan belakang boleh laras, mempunyai kadar injap dan spring yang telah ditala khusus untuk Morgan Supersport untuk memberikan prestasi optimum.
Bahagian kabin yang hanya menempat dua tempat duduk sahaja menampilkan ciri retro klasik dengan paparan meter berbentuk bulat tetapi dalam masa yang sama menampilkan sistem audio yang canggih dengan menggunakan sistem daripada Sennheiser.

Dan untuk pelanggan, mereka boleh menempah secara kustom mengikut citarasa mereka bagi mendapatkan lebih ciri keperibadian. Tetapi kena ingat, tempoh menunggu model Morgan ini bukanlah seperti submit loan Myvi hari ini lagi enam boleh dapat. Yang ini lagi lama. Sanggup dengan tak sanggup aja.
BACA : MORGAN PLUS FOUR – KERETA SPORT MODEN DENGAN GAYA KLASIK