Buletin

10 CIRI-CIRI MERCEDES-BENZ CLA 2025, EV & HIBRID, JARAK SEHINGGA 792 KM!

Rasa seperti baharu, Mercedes-Benz CLA kini berada di dalam generasi ketiga. CLA generasi pertama diperkenalkan pada 2012 dan berjaya mencetus fenomena bersama hatchback A-Class.

CLA generasi kedua memasuki pasaran pada 2019 dan sama seperti model terdahulu turut menampilkan model Shooting Brake atau wagon.

CLA generasi ketiga pula muncul dengan wajah depan lebih funky dan selambak logo tiga bintang selain nyalaan lampu belakang juga dengan logo tiga bintang.

Mercedes-Benz sebenarnya terikat dengan legasi dan warisan namun para pereka CLA berjaya membangkitkan aura tersendiri selain mendepani pesaing dari China dan rekaan terkini BMW.

Sekali pandang mungkin ditolak namun lama-kelamaan gayaan CLA baharu boleh dihadam. Tambahan pula, kereta seperti siri A perlu direka untuk generasi semasa.

Satu lagi yang menarik, Mercedes-Benz tidak mengasingkan model enjin pembakaran dalaman dan elektrik dan kedua-dua rangkaian kuasa digunakan pada CLA.

Berikut 10 ciri-ciri Mercedes-Benz CLA 2025:

1. Reka Bentuk Aerodinamik dengan Gril Bercahaya, 142 bintang LED!

Reka bentuk CLA 2025 menggabungkan gaya sporti dengan kecekapan aerodinamik dan menjadikannya di antara model paling cekap dalam kelasnya dengan pekali seretan hanya Cd 0.21.

Bahagian hadapan CLA menampilkan rekaan ‘muncung jerung’ yang agresif dengan gril bercahaya yang dihiasi 142 bintang LED!

Jalur LED merentangi depan ke belakang, menambah elemen futuristik dan lebih garang waktu malam.

Lampu depan MULTIBEAM LED berbentuk bintang bukan sahaja membantu pencahayaan tetapi juga menjadi identiti unik Mercedes-Benz.

Bentuk coupe fastback CLA diserlahkan dengan jarak roda panjang 2,790 mm, overhang pendek dan belakang ala GTyang menonjolkan imej atletik.

Bahagian sisi menampilkan garisan karakter beralun yang menghasilkan permainan cahaya dan bayang yang dinamik.

Bahagian belakang dilengkapi peresap aerodinamik yang bukan saja menaikkan gaya, tapi juga meningkatkan prestasi.

Selain itu, rim aloi aerodinamik dari 17 hingga 19 inci dipilih khas untuk mengurangkan rintangan udara dan meningkatkan jarak pemanduan model elektrik.

2. Ruang Dalaman Premium & Frunk Pertama CLA

Bumbung kaca panoramik merupakan ciri standard pada CLA 2025 dan menjadikan kabin lebih terang dan lapang.

Ruang dalaman juga lebih besar berbanding model sebelumnya dengan peningkatan ruang kepala dan kaki dan mempunyai kapasiti but 405 liter.

Kapasiti itu biasa sahaja dan buat pertama kali, CLA dilengkapi frunk 101 liter di bahagian depan untuk ruang penyimpanan tambahan barang kecil dan kabel pengecas.

3. Platform Modular MMA

CLA 2025 model pertama yang dibina menggunakan platform MMA, yang turut akan digunakan oleh CLA Shooting Brake dan dua SUV kompak.

Platform ini boleh digunakan untuk pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD/4MATIC), untuk keanjalan sistem rangkaian kuasa.

Dimensi CLA 2025 lebih besar berbanding model terdahulu:

  • Panjang: 4,723 mm (+35 mm)

  • Lebar: 1,855 mm (+25 mm)

  • Tinggi: 1,468 mm (+29 mm)

  • Jarak roda: 2,790 mm (+61 mm)

Satu yang menarik, saiz CLA hampir menyamai C-Class!

4. Rangkaian Kuasa – Elektrik Penuh Dan Hibrid 48V, Jarak sehingga 792 km!

Di tengah-tengah era elektrifikasi, Mercedes-Benz tidak menjadikan CLA sebagai kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya dan turut dipacu enjin pembakaran dalaman.

Elektrik (Teknologi EQ)

CLA 250+ menggunakan motor belakang tunggal yang menghasilkan 200 kW (272 PS) dan 335 Nm, membolehkannya memecut 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 6.7 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

CLA 350 4MATIC dilengkapi tambahan motor hadapan 80 kW (109 PS) untuk pacuan semua roda dengan  kuasa keseluruhan 260 kW (354 PS) dan 515 Nm. Pecutan 0 sehingga 100 km/j hanya mengambil masa 4.9 saat

Jarak pemanduan berdasarkan ujian WLTP adalah:

  • CLA 250+: 694 – 792 km
  • CLA 350 4MATIC: 672 – 771 km

Penggunaan tenaga juga sangat cekap:

  • CLA 250+: 12.2 – 14.1 kWj/100 km
  • CLA 350 4MATIC: 12.5 – 14.7 kWj/100 km

Bateri 85 kWj (bersih) NMC (Nickel-Manganese-Cobalt) menawarkan ketumpatan tenaga tinggi untuk jarak pemanduan lebih jauh dan kecekapan yang lebih baik.

CLA juga dilengkapi dengan kotak gear dua kelajuan, manakala CLA 350 boleh memutuskan motor hadapan secara automatik bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan jarak pemanduan

Hibrid 48V (Akhir 2025)

CLA hibrid dikuasakan oleh enjin 1.5L 4-silinder (Miller Cycle) dengan tiga tahap kuasa.

Pada kelajuan bandar dan apabila kurang daripada 20 kW diperlukan, CLA boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Pemanduan elektrik boleh dilakukan pada kelajuan sehingga sekitar 100 km/j dalam keadaan tertentu.

Sistem pengembalian tenaga yang mampu menjana sehingga 25 kW membantu menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik semasa membrek dan meningkatkan kecekapan bahan api.

CLA hibrid juga hadir dengan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD/4MATIC).

5. Pengecasan Super Pantas – 325 Km Dalam 10 Minit

Sistem elektrik 800V membolehkan CLA dicas menggunakan pengecas pantas DC sehingga 320 kW.

Dengan teknologi ini, pengecasan 10 minit mampu menambah jarak pemanduan sebanyak:

  • CLA 250+: 285 – 325 km
  • CLA 350 4MATIC: 275 – 315 km

Untuk pengecasan di rumah atau stesen awam, CLA menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW

Bateri generasi baharu ini juga dihasilkan melalui proses yang lebih mesra alam dengan pengurangan jejak karbon sebanyak 30 peratus berbanding model terdahulu.

6. Mercedes-Benz Operating System (MB.OS)

CLA 2025 menjadi model pertama Mercedes-Benz yang sepenuhnya dikawal oleh MB.OS, sistem operasi baharu yang membolehkan semua sistem dalam kenderaan dikemas kini secara over-the-air (OTA).

Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem ini menggunakan teknologi daripada Google, Microsoft, dan ChatGPT4o, menjadikan pemanduan lebih pintar, intuitif dan responsif.

Sistem ini membolehkan kenderaan menyesuaikan tetapan mengikut corak pemanduan pengguna serta terus menerima kemas kini teknologi tanpa perlu ke pusat servis.

7. MBUX Generasi Ke-4 – Interaksi AI & Navigasi Google Maps

Sistem maklumat hibur CLA kini lebih canggih dengan MBUX Virtual Assistant yang mampu berinteraksi secara lebih semula jadi, memahami emosi pengguna serta mengingati sejarah interaksi.

Navigasi utama kini menggunakan Google Maps dengan paparan 3D masa nyata, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan intuitif.

CLA juga menampilkan MBUX Superscreen dengan tiga skrin (pilihan 10.25”, 14”, 14” ) yang menjadikan dalaman kereta ibarat pusat kawalan digital.

8. Sistem Bantuan Pemanduan Tahap 2 – MB.DRIVE

Selain Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Penukaran Lorong dan Bantuan Parkir 360°, CLA juga dilengkapi dengan teknologi berikut:

  • MB.DRIVE ASSIST – DISTRONIC Distance Assist dengan Bantuan Stereng, menjadikannya sistem bantuan pemanduan Tahap 2 yang lebih canggih.
  • MB.DRIVE ASSIST PLUS – Versi lebih canggih dengan DISTRONIC Plus dan Penukaran Lorong Automatik di lebuh raya, bakal diperkenalkan kemudian.
  • MB.DRIVE ASSIST PRO – Termasuk dua kamera tambahan untuk bantuan pemanduan di kawasan bandar (SAE Level 2++) – Masih menunggu kelulusan di beberapa pasaran.
  • MB.DRIVE PARKING ASSIST – Mampu mengenal pasti petak parkir dengan lebih pantas termasuk petak serong dan tanpa garisan putih.
  • MB.DRIVE PARKING ASSIST 360 – Memberikan pandangan sekeliling yang lebih jelas dan antaramuka baharu untuk pengalaman parkir lebih intuitif.

Sistem ini menggunakan lapan kamera, lima radar, dan 12 sensor ultrasonik untuk pemantauan menyeluruh.

Superkomputer berkuasa tinggi membolehkan kemas kini perisian OTA bagi ciri keselamatan dan bantuan pemanduan di masa hadapan.

9. Teknologi Penjimatan Tenaga & Cas Dua Hala (V2G & V2H)

CLA 2025 menggunakan pam haba pelbagai sumber yang memanfaatkan haba dari bateri dan rangkaian

CLA juga dilengkapi dengan Vehicle-to-Grid (V2G) dan Vehicle-to-Home (V2H) yang membolehkan tenaga bateri digunakan untuk membekalkan elektrik kepada rumah atau dikembalikan ke grid tenaga.

10. Mesra Alam dengan Jejak Karbon 40% Lebih Rendah

CLA 2025 di antara model paling mesra alam dalam barisan kenderaan Mercedes-Benz.

Bateri generasi baharu mengurangkan jejak karbon sebanyak 30 peratus per sel dan aluminium yang digunakan dihasilkan dengan 40 peratus lebih tenaga boleh diperbaharui.

Lebih 50 peratus plastik dalam CLA diperbuat daripada bahan kitar semula dan memastikan model ini memenuhi standard kelestarian Mercedes-Benz.

Google ads
Back to top button