Motosikal

MOTO MORINI X-CAPE 650 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA. BREK BREMBO, 60HP, BERMULA RM40K

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd (MForce Bike) akhirnya melancarkan secara rasmi Moto Morini X-Cape 650 ke pasaran tempatan. 

Hadir dalam dua varian iaitu 650 (standard) dan 650 X, jentera itu boleh dimiliki pada harga RM39,999 (standard) dan RM43,999 untuk 650 X (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Ia juga hadir dalam tiga pilihan warna iaitu merah, putih dan kelabu.  

Moto Morini X-Cape 650 tampil dengan konsep yang elegan, selesa, selamat dan memiliki penampilan yang lasak serta gayaan Rally. Tidak ketinggalan,  kemasan German Basf Baking dengan standard tinggi dan kalis karat serta permukaan licin yang berkilat. X-Cape 650 turut dilengkapi muffler tahan karat dengan reka bentuk yang unik. 

Ia menggunakan enjin empat lejang DOHC 8 injap dua silinder bersesaran 649cc yang mampu menjana kuasa 60hp dan toro 56Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. 

Dari segi keselesaan, Moto Morini X-Cape 650 hadir dengan penyerap hentakan Marzocchi bersama talaan yang sempurna semasa menunggang. Suspensi belakang pula menggunakan penyerap hentakan boleh laras daripada KYB. 

Ketinggian tempat duduk motosikal ini adalah 810mm (standard) atau 835mm (versi X) dengan rangka badan yang padat dan kukuh untuk kestabilan maksima. 

Pelana turut direka bagi memastikan penunggang dapat menikmati setiap tunggangan dengan selesa. Ia dibina menggunakan bahan elastik dengan kualiti premium dan anjal. Keselesaan ditingkatkan lagi dengan penghadang angin yang boleh dilaras.

Moto Morini X-Cape 650 juga dipasangkan dengan pelindung enjin yang bertujuan untuk melindunginya daripada serpihan di jalan raya ataupun di laluan off-road. Dari segi keselamatan, Moto Morini X-Cape 650 diperbuat dari bingkai jenis 20 Cr-Mo yang ringan dan intensif.

Jentera tersebut dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran untuk melaksanakan tugas membrek dengan cemerlang. Brek hadapan terdiri daripada dua cakera bersaiz 255mm dengan empat piston caliper jenis Brembo yang efisyen. Manakala brek belakang pula menggunakan cakera tunggal 255mm dengan dwi piston caliper juga daripada Brembo. 

X-Cape 650 turut didatangkan dengan lampu LED penuh bersama corak seakan-akan mata helang yang menonjolkan lagi reka bentuk motosikal ini.

Moto Morini X-Cape 650 dipasangkan dengan panel paparan TFT bersaiz 7 inci yang menawarkan kadar kecerahanan skrin yang tinggi. Ia juga beroperasi dengan menggunakan sistem LINUX dan lengkap dengan fungsi Bluetooth dan pastinya reka bentuk User Interface (UI) bercirikan Itali. 

Menambahkan elemen menarik pada motosikal ini ua memiliki tangki minyak berkapasiti 18-liter dan memberikan anda lebih kilometer tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi semula bahan api. Selain perbezaan dari segi ketinggian tempat duduk, kedua-dua versi ini turut menggunakan jenis rim berbeza, di mana versi standard menggunakan jenis aloi aluminium dan versi 650 X menggunakan jenis jejari. 

Moto Morini X-Cape sudah boleh didapati segera di mana-mana pengedar sah MForce di seluruh Malaysia. Dengan setiap pembelian Moto Morini X-Cape 650, pelanggan akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana-mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike.

Google ads
Back to top button