Motosikal

MFORCE LANCAR BX 150 FACELIFT 2021. 3 VARIAN, BERMULA RM10,488 SEUNIT

Selepas dilancarkan pada tahun 2018, MForce kini melakukan penambahbaikan dari segi penampilan dan corak pada model BX 150.

Model itu hadir dalam tiga varian iaitu BX 150, BX 150X, BX 150R. Seperti yang boleh dilihat, BX 150 standard memiliki penampilan yang klasik. BX 150X hadir dengan gayaan sebuah scrambler, manakala BX 150R pula tampil sebagai sebuah café racer.

Ketiga-tiga model berkenaan dilengkapi enjin 149cc empat lejang, SOHC yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 11hp pada 8,000rpm dan tork 11.9Nm pada 6,000rpm.

Enjin yang menggunakan sistem pancitan bahan api itu kemudian dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Ketiga-tiga variasi tersebut menggunakan fork hadapan teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang. Selain dipasang dengan sepasang cakera brek untuk menawarkan kuasa membrek yang lebih meyakinkan.

Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi ciri Combined Braking System (CBS) pada brek hadapan dan belakang.

Memiliki reka bentuk yang klasik, Brixton BX 150 menawarkan pengalaman tunggangan yang mudah dan selesa. Terima kasih kepada tempat duduk rata dan lebar serta memiliki dimensi yang sempurna.

BX 150 didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter untuk perjalanan lebih jauh. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi gabungan meter analog dan  speedometer digital yang mudah dibaca.

Setiap varian Brixton ini dijual pada harga asas dan warna yang berbeza.

  • BX 150 – RM10,488 (hitam, hijau gelap)
  • BX 150X – RM10,788 (hitam matte, kelabu matte)
  • BX 150R – RM11,088 (merah dan kelabu)

Pelanggan boleh mendapatkan model Brixton pilihan sebaik sahaja premis pengedar sah Mforce dibenarkan beroperasi.

Mana-mana model Brixton BX 150 hadir bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (mana-mana tiba dahulu), selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

GALERI

Google ads
Back to top button