Motosikal

MOTO MORINI X-CAPE 650 & QJ MOTOR SRT 800 TIBA DI MALAYSIA. LANCAR Q2 2022, HARGA BAWAH RM45K?

Sewaktu menghadiri majlis pembukaan Benelli Best Shop di Alor Setar baru-baru ini, saya berpeluang melihat secara dekat dua model baharu yang diperkenalkan oleh MForce Bike Holdings ke pasaran tempatan.

Model yang saya maksudkan ialah Moto Morini X-Cape 650 dan QJ Motor SRT 800. Tampil dengan rekaan dan spesifikasi mantap, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ia mampu menarik minat mereka yang sedang berkira-kira untuk mendapatkan sebuah jentera adventure tourer.

Moto Morini X-Cape 650

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Moto Morini membuka salam pertama di Malaysia menerusi X-Cape 650. Untuk makluman, jentera tersebut melakukan debut pada acara EICMA 2019.

Model yang anda lihat ini merupakan model yang boleh digunakan di laluan off-road.

Sebab itulah ia dilengkapi rim lidi berwarna emas dengan saiz 19 inci di depan dan 17 inci di belakang. Rim itu kemudian dibalut dengan tayar lipan berbunga tebal. Rugged betul.

Satu lagi versi X-Cape 650 yang akan ditawarkan kepada pengguna di Malaysia dilengkapi rim sports berwarna hitam dengan saiz sama iaitu 19 inci di depan dan 17 inci di belakang.

Penampilan jentera itu diserlahkan lagi menerusi warna merah menyala bersama grafik berwana putih. Bahagian hadapan dilengkapi lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Pelindung angin yang menjadi komponen wajib untuk model adventure itu boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

X-Cape 650 dilengkapi sistem brek Brembo dengan cakera berkembar bersaiz 298mm di depan dan cakre tunggal 255mm di belakang.

Sebagai sebuah motosikal moden, ia dipasang skrin TFT berwarna bersaiz 7 inci yang memaparkan segala maklumat tunggangan dengan jelas.

X-Cape 650 dikuasakan oleh  enjin parallel-twin bersesaran 649cc dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menjana 60hp dan tork 56Nm. Ia turut dilengkapi fork Marzocchi 50mm boleh laras di depan dan penyerap hentak KYB kat belakang.

Tunggangan mantap disumbang oleh kerangka jenis trellis steel bersama swingarm aluminium. Tangki berkapasiti 18 liter pula tidak memerlukan anda untuk kerap singgah di stesen minyak.

Motosikal itu menawarkan tahap kelegaan tanah sehingga 175mm. Ia juga hadir dengan dua pilihan ketinggian pelana iaitu 820mm atau 845mm. Berat kering jentera adalah sekitar 213kg.

X-Cape 650 didatangkan dengan banyak aksesori. Antara yang dipasang pada model ini ialah kotak penyimpanan barang jenama Moto Morini dan bar pelindung.

QJ Motor SRT 800

Ini merupakan kembar kepada Benelli TRK 800 yang telah diperkenalkan di pasaran China pada tahun lalu.

Seperti yang anda boleh lihat, QJ Motor SRT 800 tampil dengan rekaan tipikal sebuah jentera adventure tourer. Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu utama LED nipis terpisah, cermin penghadang angin dan paruh.  

Tangki berkapasiti 18.5 liter itu kelihatan agak besar. Ia juga dipasang dengan skrin paparan TFT berwarna bersaiz 7 inci, cukup terang untuk penunggang mengakses segala maklumat tunggangan.

SRT 800 dipasang dengan rim lidi bersaiz 19 inci di depan dan 17 inci di belakang yang dibalut oleh tayar jenis tubeless.  

Motosikal berkenaan dijana oleh enjin parallel-twin 745cc dengan sistem penyejukan cecair. Mampu menghasilkan kuasa sekitar 75hp dan tork 67Nm, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Aspek keselamatan ditingkatkan dengan sistem brek ABS bersama cakera berkembar di hadapan, kawalan cengkaman dan banyak lagi. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork USD di depan dan monoshock untuk roda belakang.

Berminat? X-Cape 650 dan QJ Motor SRT 800 bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini. Harganya pula sangat kompetitif, katanya sekitar RM45,000 seunit!

GALERI

Google ads
Back to top button