Buletin

MOTOBUS: SOLUSI MENGANGKUT MOTOR KE LUAR KOTA

Sekali tajuk artikel Brader Karrager dah serupa laporan laman sesawang Indonesia pula. Kali ini Brader bawakan berita dari seberang pula. Untuk yang tidak mengetahui, sebenarnya ramai pengguna dari kota Jakarta – Bandung terutamanya jenis yang berulang alik dengan menaiki sepeda motor atau pun motosikal. Itu belum campur waktu liburan hujung minggu lagi. Dan untuk memudahkan penunggang motosikal mendapatkan sedikit keselesaan untuk yang berulang-alik, syarikat PT Motobus Trans Nusantara bakal menawarkan perkhidmatan Motobus, untuk membawa penumpang berserta dengan motosikal.

BACA : BUS RAPID TRANSIT (BRT) : JAWAPAN KEPADA KEBERKESANAN SISTEM LALUAN BAS

BACA : SETRA S 531 DT: BAS DUA TINGKAT TERMEWAH DI DUNIA

Barangkali melihatkan adanya keperluan tersebut, maka sudah tentulah peluang buat syarikat Motobus Trans Nusantara untuk menawarkan perkhidmatan dengan keselesaan yang tiada bandingan kepada mereka yang kerap berulang-alik antara dua kota utama di Jawa Barat itu. Tambahan pula, jarak antara Jakarta – Bandung lebih kurang 150km jauhnya, untuk menempuh kesesakan lagi barangkali membuatkan sang penunggang dan pembonceng berasa kurang selesa untuk berada lama atas lebuhraya. Lenguh punggung wei!

Sebabnya, walaupun dengan jarak yang lebih kurang antara Kuala Lumpur ke Melaka, perjalanan ditempat kita mungkin mengambil masa sekitar kurang dua jam. Tetapi dengan jarak yang lebih kurang sama, masa yang diperlukan untuk sampai dari kota Jakarta ke Bandung adalah antara dua jam setengah ke tiga jam. Bila dah macet, nak cilok pun payah, iya tak?

Tapi dengan menggunakan perkhidmatan Motobus ini, pengguna bolehlah berehat sambil melelapkan mata buat seketika. Setidaknya risiko berlakunya kecelakaan dapat dikurangkan. Apa yang menariknya, penumpang yang menaiki bas dua tingkat ini sememangnya dijamin keselesaan yang bukan kepalang dengan penggunaan tempat duduk jenis premium. Setiap tempat duduk juga akan dilengkapi dengan sabuk pengaman dan USB untuk mengecas ponsel (telefon bimbit). Perkhidmatan wifi juga turut ditawarkan kepada penumpang. Jimat sikit data, iya tak?

Manakala dek bawah pula khusus untuk mengusung motosikal dengan kapasiti 10 buah dengan syarat utamanya haruslah dibawah 150cc dan mempunyai tongkat tengah. Selain itu, syarat tangki petrol motosikal haruslah berada di paras minima atas faktor keselamatan. Dan buat masa ini, hanya sebuah bas sahaja yang bersedia untuk berkhidmatn untuk kegunaan dengan kadar kekerapan dua perjalanan dari Jakarta dan dua juga dari Bandung. Manakala sebuah bas lagi sedang disiapkan untuk kegunaan masa hadapan.

Sebetulnya kalau ditempat kita pun menurut risikan Brader Karrager ada juga beberapa syarikat bas yang turut menawarkan perkhidmatan untuk membawa motosikal dengan menaiki bas cuma ianya agak terhad. Sungguhpun demikian, ada juga sahabat Brader Karrager yang menjadikan bas persiaran sebagai mode untuk mengirim kerepek pisang berkotak-kotak. Bijak bukan?

Tambang untuk menggunakan perkhidmatan Motobus ini adalah seperti berikut :

Pakej 1 Penumpang + Motosikal – IDR228.000 (RM71.56)
Penumpang Dewasa – IDR119.000 (37.35)
Kanak-kanak – IDR69.000 (RM21.66)
Motosikal sahaja – IDR249.00 (RM78.15)

Kredit Foto : FB Motobus

Tags
Google ads
Back to top button