PENDAWAIAN TIDAK TERATUR PUNCA RENJATAN ELEKTRIK DALAM BAS
Pendawaian elektrik pada sebuah bas ekspres didapati tidak teratur menjadi punca seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Terminal Penang Sentral pada 2 November lalu.
Dapatan itu diperoleh hasil siasatan pasukan Petugas Khas di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).
Dalam sidang media di Parlimen, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket juga dipasang secara terbalik.
“Di samping itu, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.
“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah lulus pemeriksaan PUSPAKOM pada 20 Mei 2024, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.
“Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.
Pada 2 November lalu, seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth pada pukul 7.40 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri. – Awani
- BACA: PANDU BMW BAPA 210 KILOMETER SEJAM REMPUH RUMAH, LESEN DIGANTUNG DUA TAHUN
- BACA: MAZDA RANCANG ENJIN BARU, SKYACTIV Z. LULUS UJIAN EURO 7
- BACA: MUZIUM TOYOTA MEMPUNYAI SEBUAH RX-7 YANG RARE – SILAP PAKIR KE?
- BACA: HYUNDAI TUCSON 2025 UNTUK KOREA, MASIH BAHARU SPESIFIKASI DIPERTINGKAT