Buletin

LAMBORGHINI RANCANG KELUARKAN MODEL BARU EMPAT-PINTU MENJELANG 2021

Sebut saja nama Lamborghini rasanya semua dah boleh bayang bentuk badannya yang cukup agresif lagi mengancam. Supercar dua pintu dengan ngauman enjin yang boleh mengetarkan jantung peminatnya. Tapi siapa sangka yang sekarang Lamborghini sedang menimbang untuk mengeluarkan model empat-pintu. Tapi jangan ingat bila empat pintu ia akan sama dengan Wira Abang Mail sebelah rumah. Ini keluaran Lambo dan sudah semestinya ia akan bersaing dengan Porsche Panamera ataupun Aston Martin Rapide.

Kerja-kerja konsep untuk model baru Lamborghini yang bakal dilancarkan pada tahun 2021 kini giat dilakukan. Ia merupakan sebahagian daripada rancangan bos Lamborghini, Stefano Domenicali untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi syarikat selepas pelancaran SUV Urus sedikit masa lagi.

BACA: DUA IKON LAMBORGHINI – VALENTINO BALBONI DAN LAMBORGHINI COUNTACH

Ia bakal menjadi model keempat keluaran Lamborghini selepas ini selain Huracan, Aventador dan Urus. Ia sudah lama dibincangkan dalam syarikat itu sendiri tentang bagaimana mereka boleh mengambil kesempatan atas perkongsian platform dengan Kumpulan Volkswagen untuk membuat keuntungan dengan angka jualan yang tidak seberapa.

Difahamkan model seterusnya merupakan model berenjin di hadapan dengan empat pintu dan empat tempat duduk. Lakarannya hampir sama dengan model konsep Estoque yang pernah didedahkan pada tahun 2008 tetapi terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada Urus selain krisis ekonomi serantau. Jualan SUV yang semakin rancak di seluruh dunia juga membuatkan tumpuan dihalakan ke arah pembangunan Urus.

Kini model empat pintu ini mula mendapat perhatian bos-bos besar Lamborghini dan diharap dapat merapatkan jurang antara Urus dan dua supercar keluaran mereka.

Adakah model baru ini akan menggugat jualan model Lambo lain? Rasanya tidak kerana berdasarkan fakta kebanyakan pemilik Lamborghini memiliki sejumlah lagi kereta di dalam garaj mereka (takkan nak pergi beli ayam pun bawa Lambo kan?). Mengikut data Lambo sendiri, secara purata pemilik Huracan memiliki empat lagi kereta dalam milik mereka dan tujuh lagi kereta bagi pemilik Aventador (rasa-rasa Tiara dengan Myvi ada tak dalam milikan mereka?).

Keputusan mengeluarkannya bagaimanapun masih lagi di peringkat awal kerana pihak Lambo sedang memikirkan cara untuk menghasilkan platform casis daripada gentian karbon yang boleh digunakan untuk ketiga-tiga supercar mereka. Ingat senang ke nak buat casis yang boleh mengekang enjin sehebat Lamborghini?.

Kredit kepada Autocar.co.uk

https://www.autocar.co.uk/car-news/new-cars/lamborghini-plans-all-new-four-door-model-2021

 

Google ads
Back to top button