
MOTO GUZZI UJI PROTOTAIP 500CC – ENJIN 457CC DARI APRILIA
Selepas sekian lama menyepi, nama Moto Guzzi kembali memenuhi laporan media antarabangsa baru-baru ini.
Ini kerana anak syarikat Piaggio itu dikesan sedang giat mengadakan sesi ujian bagi sebuah prototaip baharu di Eropah.
Menariknya, prototaip tersebut tidak dikuasakan enjin V-Twin yang sudah menjadi sinonim pada motosikal Moto Guzzi.
Difahamkan, Piaggio sebelum ini telah pun memfailkan cap dagangan “The Trip 500” sekaligus memberi bayangan prototaip tersebut merupakan model paling kecil dalam keluarga Moto Guzzi.

Ini kerana The Trip 500 dikuasakan unit parallel-twin 457cc yang sama diambil dari Aprilia RS457 dan Tuono 457.
Memandangkan permintaan terhadap segmen 400cc hingga 500cc di pasaran global semakin meningkat, tidak hairanlah Moto Guzzi turut mahu menjadi sebahagian dari segmen yang popular itu.
Namun begitu, ketika Aprilia mengguna pakai kerangka aluminium, Moto Guzzi pula memilih casis steel trellis. Enjin 457cc itu masih lagi digunakan sebagai beban utama dan menyokong bahagian swingarm.
Bagaimanapun, ciri yang mencuri perhatian adalah kedudukan monoshock belakang yang ditempatkan di bahagian kanan swingarm.
Sementara itu,rekaan keseluruhan pula jelas mengambil inspirasi dari model V7. – (CycleWorld)







