BuletinMotosikal

MOTOGP USA: MOTIVASI KHAS MENJADI TONIK KEJAYAAN MARQUEZ

Selepas berjaya mencatat kejayaan keenam berturut-turut di Circuit of the Americas, Marc Marquez menyatakan yang beliau mempunyai ‘motivasi khas’ di sebalik keputusan beliau untuk mendominasi perlumbaan seawal mungkin di Texas.

Walaupun berdepan dengan keadaan yang tidak menentu sejak insiden di Argentina tempoh hari ternyata Marquez kembali bangkit merangkul kejuaraan di Austin kali ini. Beliau mendedahkan tentang motivasi khas yang membawa kepada penukaran strategi perlumbaan yang membawa kepada kemenangan pertama beliau dalam musim 2018 ini.

Marquez tiba di Texas ketika seluruh dunia sibuk memperkatakan tentang-tentang aksi-aksi agresif beliau sewaktu MotoGP Argentina tempohari yang menyaksikan beliau mengumpul penalti yang menyebabkan pihak pengarah perlumbaan menurunkan kedudukan beliau ke barisan keempat grid.

Pelumba berusia 25 tahun ini dikatakan telah menghalang Maverick Vinales memotong dalam sesi ujian kedua Sabtu lalumenyebabkan Vinales merajuk dan enggan meneruskan sesi ujian masa (macam budak-budak pun ada kan?). Rentetan insiden ini telah menyebabkan Marquez membuat keputusan untuk menukar strategi perlumbaan dengan berada pada kedudukan paling hadapan seawal pusingan awal.

Ia bukannya strategi kegemaran Marquez tetapi dalam kehangatan aksi beliau yang telah menjadi perhatian dan kritikan banyak pihak, Marquez merasakan yang ini adalah pilihan yang terbaik. Perlumbaan menyaksikan Marquez berada 7 saat di hadapan pelumba kedua sebelum mengurangkan jarak kepada 3.5 saat pada pusingan terakhir. Dengan kejayaan yang gemilang ini, pelumba pasukan Repsol Honda ini berada pada laluan yang tepat untuk merangkul kejuaraan MotoGP lagi tahun  ini.

BACA: MOTOGP USA: “SAYA GAGAL KE PODIUM KERANA CUACA PANAS” – ROSSI

Marquez menyatakan yang ini merupakan perlumbaan yang berbeza kerana sejak beliau bangun dari tidur beliau sudah menetapkan sasaran untuk menguasai tempat pertama seawal perlumbaan. Beliau juga perlu memastikan jarak yang selesa untuk memastikan pelumba di belakang tidak berpeluang menghampiri untuk memotong.

Walaupun memulakan perlumbaan di tempat keempat, Marquez berjaya mendahului perlumbaan seawal pusingan pertama sebelum berusaha menjarakkan diri beliau dengan pelumba lain dalam pusingan seterusnya. Beliau kemudian mengawal perlumbaan mengikut naluri sendiri dan mengakui ia menjadi satu perlumbaan yang panjang kerana terpaksa menyerap tekanan sebagai pendahulu perlumbaan.

Sudah tentu tekanan yang dihadapi bukannya kecil tetapi beliau mempunyai motivasi lain. Beliau sukakan cabaran dan tekanan dan percaya mesti ada jalan untuk mencapai kemenangan. Hasilnya beliau berjaya membuka ruang hampir 7 saat dari Vinales di tempat kedua.

Tekanan yang terhasil hujung minggu ini lepas telah memberikan dorongan untuk Marquez terus bangkit. Sudah tentu sekali sekala ramai pelumba akan tewas kepada tekanan tetapi bukannya Marquez. Khususnya pada perlumbaan di Texas kali ini.

Menurut Marquez ia bukannya kemenangan yang mudah tetapi gandingan beliau bersama jentera Honda RCV213V memang terasa cukup menjadi sekaligus menutup tirai hitam yang berlaku di Argentina.

Hasilnya, Marquez kini berada di kedudukan kedua senarai pendahulu GP di belakang Andrea Dovizioso yang kini sedang terkial-kial untuk menaiki podium bagi mengekalkan kedudukan.

Walaupun dikatakan menunggang dengan agresif dan ganas tapi terbukti Marquez memang power. Boleh control habis perlumbaan di atas litar yang tak rata, betul tak?

Kredit video crash.net

Google ads
Back to top button