Motosikal

MOTOGP: JORGE MARTIN SAH SERTAI APRILIA, MARC MARQUEZ KE PASUKAN KILANG DUCATI?

Berita mengejut hadir dari kem Aprilia apabila pasukan Itali itu mengesahkan Jorge Martin sebagai pelumba baharu bagi musim 2025 menggantikan Aleix Espargaro yang akan bersara hujung musim ini. 

Perkabaran itu ternyata mengejutkan apatah lagi beberapa hari sebelum itu Martin dikaitkan dengan berita perpindahan ke pasukan kilang Ducati bagi digandingkan dengan Fracesco Bagnaia. 

Ini bermakna Martin akan terajui Aprilia Racing musim depan dengan gandingannya dijangka akan turut ditentukan dalam tempoh terdekat. Untuk rekod, Maverick Vinales masih belum menandatangani kontrak baharu namun dijangka akan kekal semusim lagi. 

“Jorge (Martin) merupakan asas utama yang boleh membantu kami untuk mencapai kejayaan besar di Aprilia Racing. 

“Terima kasih kepada Dr Michele Colanino (CEO Piaggio Group) atas peluang ini, kami berbincang malam tadi dan tanpa melengahkan masa kami membuat keputusan ini,” jelas pengendali Aprilia Racing, Massimo Rivola. 

Difahamkan, Martin telah menandatangani kontrak beberapa tahun bersama Aprilia Racing. 

Dalam pada itu, perpindahan Martin ke Aprilia secara tak langsung menguatkan lagi khabar angin melibatkan pelumba Gresini Racing dan lapan kali juara dunia Marc Marquez yang akan ke pasukan kilang Ducati.

Marquez sebelum ini tidak berselindung daripada niatnya untuk beraksi dengan jentera kilang Ducati selepas menyertai pasukan satelit Ducati (Gresini Racing) awal musim ini. Meskipun menunggang jentera Ducati GP23 berusia setahun namun Marquez berjaya menempatkan dirinya dikalangan pesaing utama kejuaraan dunia dengan 136 mata, hanya 35 mata dipisahkan dengan pendahulu kejuaraan, Martin.

Sebelum ini, Marquez juga menyatakan pendirian tidak berminat ke Pramac Racing walaupun pasukan satelit itu mendapat jentera Ducati terkini.

Sekiranya benar, maka Marquez akan digandingkan dengan Bagnaia bagi musim 2025 menggantikan Enea Bastianini. Bagaimanapun, Ducati masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi ketika ini.

Google ads
Back to top button