
TIADA AHLI KELUARGA MARQUEZ DIBENARKAN SERTAI YAMAHA – DEDAH RAZLAN RAZALI
Datuk Razlan Razali sememangnya tidak pernah gentar dalam menyampaikan kebenaran terutamanya membabitkan senario yang berlaku di belakang tabir kejuaraan dunia MotoGP.
Terbaru, bekas prinsipal pasukan RNF Racing-Aprilia itu mendedahkan Yamaha telah menyekat keputusannya untuk menandatangani Alex Marquez pada 2020 di Moto2 bersama pasukan SRT (Sepang Racing Team).

“Saya sukakan Alex dan dia berada dalam senarai pendek kami. Jadi kami mengadakan pertemuan rahsia untuk dia bersama kami selama setahun di Moto2 dan kemudian sebaik Fabio (Quartararo) naik ke pasukan ‘factory’, Alex akan bersama kami di MotoGP.
“Saya masih menyimpan gambar di telefon saya. Kami telah pun menandatangani kontrak untuk Alex bersama kami. Ini adalah pada Ogos 2019, sekitar jam 10 malam.
“Saya memberitahu Yamaha saya mahu khidmat Alex di Moto2 dan kemudian di MotoGP. Lalu, Yamaha memberitahu saya ‘tiada ahli keluarga Marquez dibenarkan sertai Yamaha’,” jelas Razlan.
Bagaimanapun, Razlan mempersoalkan keputusan Yamaha pada waktu itu.

“Saya bertanya semula, ‘Kenapa? Ini adalah pasukan saya’. Rupanya disebabkan Marc (Marquez) dan apa yang telah berlaku pada 2015,” tambahnya.