BuletinMotosikal

MOTOSIKAL DUA LEJANG INI HASIL REKAAN LIMA BEKAS JURUTERA FERRARI F1

Ini ialah Vins Duecinquanta, motosikal yang dibangunkan oleh lima orang bekas jurutera pasukan Formula Satu Ferrari. 

Apa yang istimewa? kerana idea motosikal ini ialah menggunakan enjin dua lejang. Di zaman serba susah untuk menepati piawaian asap yang semakin ketat, memilih pembangunan enjin dua lejang adalah perkara terakhir yang akan dilakukan oleh mana-mana syarikat motor.

Ia bukan hanya cukup berkuasa dan mempunyai reka bentuk yang eksotik tapi ia juga mempunyai enjin dua lejang baru dengan teknologi Transfer Port Injection (TPI) yang menjadikannya lebih bersih. Berapa bersih? Cukup bersih  kerana ia berjaya mencapai standard Euro 4. Sebagai perbandingan, enjin moden 4-lejang Yamaha Tenere sebelum ini gagal mencapai standard Euro 4 .

Inilah satu-satunya motor bernadikan enjin 2-lejang yang berkuasa yang dihasilkan oleh para jurutera yang pernah terlibat dengan pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari. “Duecinquanta” merupakan perkataan dalam bahasa Itali yang bermaksud 250 bertepatan dengan kapasiti motosikal ini iaitu 250cc.

Dari segi luaran, jika melihatnya dari sisi sedikit keanehan akan dikesan oleh peminat motosikal sejati. Mana kerangkanya? Apa jenis kerangka yang dipakai? Adakah ia steel trellis? Kerangka diamond ataupun aluminum twinspar seperti sportbike 250cc lain?

Semuanya salah kerana bahagian luarannya itu sendiri adalah kerangka motosikal. Enjinnya memang dilekatkan terus ke bahagian panel luar

Kenapa ia begitu kukuh? Jawapannya ialah kerana material paling mahal dan eksotik pernah digunakan pada sebuah motosikal iaitu gentian karbon. Hampir 80 peratus komponen yang membentuk badan motosikal ini dihasilkan daripada gentian karbon, sama seperti sebuah kereta Formula 1.

Hampir kesemua bahagian seperti rim, lengan ayun belakang, suspensi depan bahkan peredam bunyi ekzos semuanya dihasilkan daripada gentian karbon.

Dengan kata lain ia mempunyai komponen karbon yang melebihi komponen gentian karbon pada jentera MotoGP 2017. Bagaimana dengan 20 peratus komponen lagi? Jangan bimbang kerana ia tidak kurang hebatnya kerana ia dihasilkan sama ada dari pada magnesium dan juga titanium. 

Vins Duecinquanta dipasangkan dengan enjin 2-lejang TPI V-Twin perlumbaan yang sebenar. Ia hampir menyamai enjin KTM EXC-TPI tetapi lebih maju lagi dengan keluaran kuasa yang mengkagumkan.

Vins Duecinquanta ini dibekalkan dengan dua jenis enjin untuk varian berbeza, Competizione (kegunaan litar sahaja) dan Strada (kegunaan di jalan raya).

Varian Competizione berkapasiti 288cc dengan kuasa maksima 80 hp manakala varian Strada berkapasiti 249cc dengan kuasa yang sedikit rendah tetapi tidak menjejaskan keseronokan memecut.

Kerana menggunakan gentian karbon sebagai bahan asas, motosikal ini sebenarnya cukup ringan. Varian Competizione mempunyai berat 85 kilogram manakala Strada hanya 95 kilogram. Ini sudah macam berat skuter Yamaha Ego.

Disebabkan itulah motosikal ini mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang hampir menyamai prototaip MotoGP iaitu hampir 1 hp/kg!

 

Google ads
Back to top button