Buletin

MOTOSIKAL MELAMBUNG DIREMPUH WIRA LANGGAR LAMPU MERAH

Video kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat di Jalan Batu Unjur, tular di laman Twitter, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 6.50 pagi itu mengakibatkan mangsa, AK Jonathan, 27, seorang pegawai perkhidmatan pelanggan, patah jari manis kaki kanan selain terdapat luka di bahagian belakang anggota badannya.

Menerusi video yang dirakam melalui rakaman papan pemuka sebuah kereta, motosikal ditunggangi mangsa melambung setelah dirempuh oleh sebuah Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan hasil siasatan awal kereta jenis Proton Wira itu dipandu peniaga ikan berusia 20 tahun.

Katanya, kenderaan itu didapati tidak memberhentikan kenderaannya semasa lampu isyarat merah dari Pandamaran ke Taman Sentosa.

“Ini menyebabkan kereta itu melanggar mangsa yang dalam perjalanan ke Bukit Tinggi dari Taman Chi Liung.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut,” katanya daam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyem 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button