" "
Buletin

AXIA TERBAKAR AKIBAT KEMALANGAN, MANGSA NYARIS MAUT

Empat mangsa nyaris maut apabila kereta Perodua Axia yang dinaiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berhampiran kawasan perusahaan Perai.

Kesemua mangsa terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu membabitkan kenderaan dinaiki mangsa dengan sebuah kereta Mercedes Benz.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.

“Apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berpunca dari kemalangan jalanraya. Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran kereta dianggarkan 90 peratus,” katanya

“Terdapat empat orang mangsa di dalam kenderaan Perodua Axia, namun kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.”

Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.19 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 pagi.

Kesemua mangsa yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Malay Mail

Google ads
Back to top button