Buletin

INOKOM LABUR RM300 JUTA UNTUK PAINT SHOP 3, TINGKATKAN KAPASITI DAN KEUPAYAAN AUTOMOTIF TEMPATAN

Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) melancarkan kemudahan pengecatan baharu, Paint Shop 3 (PS3), yang melibatkan pelaburan kira-kira RM300 juta, sekali gus menjadi antara pelaburan pemasangan automotif terbesar oleh Sime setakat ini.

Kemudahan yang dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja Malaysia, mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri dan bakat tempatan.

Pengarah Inokom Corporation Sdn. Bhd., Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh berkata, PS3 selaras dengan aspirasi Dasar Automotif Nasional dalam memperkukuh pembangunan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan industri automotif negara.

Menurut Pengarah Urusan Perniagaan Pemasangan dan Strategik Sime Motors, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, kemudahan itu meningkatkan kapasiti pengecatan, fleksibiliti pengeluaran dan kesiapsiagaan Inokom untuk menyokong program kenderaan masa depan, selain dilengkapi teknologi automasi dan ciri kelestarian.

PS3 mampu menghasilkan sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun menerusi operasi dua syif pada kadar 15 unit sejam, termasuk keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan ini, kapasiti keseluruhan kemudahan pengecatan Inokom meningkat kepada 100,000 badan kenderaan bercat setahun.

Kemudahan itu menggunakan sistem automasi canggih termasuk 32 robot pengecatan dan pengedap, sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan automatik, serta teknologi Cartridge Bell System yang membolehkan pertukaran warna dilakukan dalam tempoh kurang 10 saat dengan sokongan sehingga 27 pilihan warna.

PS3 turut mengaplikasikan proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran yang lebih cekap tenaga, selain mendapat manfaat pemindahan teknologi dan latihan daripada pasukan teknikal Mazda sepanjang proses pembangunan dan pentauliahan.

Bagi memastikan aliran pengeluaran yang lebih cekap, badan kenderaan dipindahkan secara automatik antara Body Shop, PS3 dan Assembly Shop melalui terowong pemindahan atas kepala, manakala sistem penghantar automatik sepanjang 1,053 meter menyokong operasi yang lancar dan berterusan.

Dari aspek kelestarian, PS3 dilengkapi sistem Regenerative Thermal Oxidiser (RTO) yang mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60 peratus, selain menggunakan sistem dry scrubber yang menghapuskan penggunaan air dalam bilik semburan cat.

Kemudahan itu juga bersedia untuk penggunaan cat berasaskan air pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong amalan pengeluaran yang lebih hijau.

Google ads
Back to top button