Buletin

XPENG PERKENALKAN SUV ELEKTRIK G9L DI CHINA – JARAK GERAK 755KM, HARGA SEKITAR RM153K

XPeng secara rasmi membuka tempahan awal bagi SUV elektrik baharunya, G9L, di China dengan harga permulaan varian tertinggi pada 259,800 yuan (sekitar RM153,000).

Model lima tempat duduk ini hadir dengan pelbagai teknologi canggih termasuk stereng roda belakang, sistem bantuan pemanduan berasaskan AI serta jarak pemanduan maksimum sehingga 755 kilometer.

Dibina dalam segmen SUV crossover bersaiz besar, XPeng G9L mempunyai dimensi 5,120mm panjang, 1,999mm lebar dan 1,782mm tinggi dengan jarak roda 3,100mm. Saiznya juga lebih panjang berbanding BMW X5 sebanyak hampir 200mm.

Reka bentuk luaran menampilkan muka hadapan tertutup, pemegang pintu tersembunyi, spoiler bumbung sporty dan sistem kemasukan udara aktif. Pekali seretan udara serendah 0.238 Cd membantu meningkatkan kecekapan tenaga.

Selain itu, sistem stereng roda belakang membolehkan SUV ini mencatat radius pusingan hanya 5.4 meter walaupun mempunyai badan yang besar.

XPeng menawarkan G9L dalam versi elektrik sepenuhnya (BEV) dan elektrik jarak lanjutan (EREV). Varian BEV pacuan roda belakang menggunakan motor elektrik 270 kW (362hp) bersama bateri LFP 91.9kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 702km mengikut kitaran CLTC.

Sistem elektrik 800V pula membolehkan penambahan jarak sejauh 450km dalam tempoh hanya sembilan minit pengecasan.

Bagi varian pacuan semua roda (AWD), gabungan dua motor elektrik menghasilkan kuasa maksimum 430 kW (577hp). Dengan bateri 110kWh jenis NMC, model ini mampu mencapai jarak sehingga 755 km dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.45 saat.

Sementara itu, versi EREV dilengkapi dua motor elektrik dengan kuasa gabungan 370kW (496hp) serta bateri 63.3kWh yang menawarkan jarak elektrik sejauh 435 km.

Enjin petrol 1.5 liter turbo bertindak sebagai penjana kuasa, membolehkan jarak perjalanan keseluruhan mencecah 1,602 km.

Ruang kabin G9L menampilkan skrin infotainmen terapung 17.3-inci, paparan instrumen digital 8.8-inci dan paparan head-up realiti tambahan (AR-HUD) bersaiz 88-inci.

Kemudahan lain termasuk 33 pembesar suara, kerusi hadapan larasan elektrik 24 hala, fungsi urut 16 titik, pengudaraan, pemanas serta tempat duduk penumpang hadapan jenis “zero-gravity”.

Penumpang belakang turut menikmati pelbagai kemudahan premium seperti peti sejuk terbina dalam berkapasiti 12.5 liter, meja lipat boleh putar, skrin bumbung 21.4-inci dan skrin sentuh tambahan 8-inci.

Ruang kargo pula menawarkan kapasiti sehingga 1,152 liter, manakala versi BEV turut dilengkapi ruang simpanan hadapan berkapasiti 109 liter.

Dari segi teknologi bantuan pemanduan, XPeng G9L menggunakan tiga cip AI Turing yang menghasilkan kuasa pemprosesan sehingga 2,250 TOPS, menjadikannya antara SUV paling canggih yang ditawarkan jenama itu setakat ini.

Harga rasmi bagi lima lagi varian G9L akan diumumkan menjelang pelancaran pasaran tidak lama lagi.

Google ads
Back to top button