
TOYOTA HASILKAN VIDEO PROSES PENGECASAN EV UNTUK MODEL BZ4X
Satu ketika dulu, Toyota pernah dituduh tidak cukup “hijau” kerana lambat dalam mengadaptasikan teknologi kereta elektrik dalam usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida. Presiden Toyota menjelaskan mereka bukan sengaja lambat, tapi masih mencari kaedah yang sesuai dalam penghasilan kereta elektrik mesra alam.
Ia bukan sahaja perlu mesra alam ketika dipandu, tapi tidak membebaskan atau menghasilkan gas karbon dioksida (carbon footprint) ketika EV dihasilkan dan dikitar semula. Tapi semua ini akan berubah apabila Toyota bakal melancarkan sebuah crossover berkuasa elektrik sepenuhnya yang diberi nama bZ4x
Menurut Toyota perkataan “bZ4x” merujuk kepada 2 gabungan perkataan iaitu “bZ” yang memberi maksud beyond Zero iaitu komitmen Toyota untuk menghapuskan jejak karbon semasa penghasilan dan penggunaan kenderaan. “4X” pula merujuk kepada sebuah crossover kompak dengan saiz sebesar Toyota RAV4
Toyota bZ4x dipasang dengan 2 motor elektrik yang menjana 215 kuasa kuda bagi varian pacuan semua roda. Bagi varian biasa, ia dipasang dengan 1 motor elektrik yang mengasilkan 201 kuasa kuda tapi menawarkan jarak perjalanan sehingga 500km dalam satu pengecasan penuh berbanding 460km bagi varian pacuan semua roda

Varian pacuan tayar depan akan dipadankan dengan bateri sebesar 71.4kWh berupaya menjana pecutan 0-100km/jam dalam masa 7.7 saat. Bagi varian pacuan semua roda ia menggunakan bateri 72.8 kWh dengan pecutan lebih deras pada 6.6 saat.
Semua bateri ini boleh dicaj sehingga memenuhi 80% kapasiti dalam masa 30 minit sahaja. Bagi projek EV ini dijalankan, Toyota telah membangunkan platform khas yang diberi nama e-TNGA yang turut digunakan oleh Subaru bagi menghasilkan model Solterra dan juga Lexus RZ.
Dalam video promosi yang dihasilkan oleh Toyota di bawah, mereka menjelaskan bZ4x boleh dicaj dengan beberapa kategori pengecasan. Bagi kategori 1, ia menggunakan plug biasa 120V yang biasa digunakan di rumah kediaman di Amerika namun memerlukan masa pengecasan yang lama
Kategori 2 pula melibatkan penggunaan sistem pengecasan yang menghasilkan antara 208-240V dan menjana antara 3kW-19kW dengan pemasangan pengecaj khas EV. Manakala DC Fast Charging pula dikategorikan sebagai Kategori 3 Pengecasan kerana ia menggunakan arus terus sama seperti yang tersimpan dalam bateri.
Jika diperhatikan dengan teliti di dalam keratan video, bZ4x datang dengan satu lagi penutup tambahan bagi melindungi soket pengecasan dan juga satu soket tambahan DC Fast Charging untuk proses pengecasan pantas. Bakal pembeli juga boleh memilih untuk memasang panel solar yang berupaya menghasilkan jarak tambahan 1770km jika dicaj dengan cahaya matahari.