Buletin

NAZA QUEST PERKENALKAN 3 VARIAN COLORADO BAHARU

Meneruskan kejayaan pelancaran Chevrolet Colorado baharu di Malaysia pada bulan Oktober tahun lalu, Naza Quest Sdn.Bhd., pengimport dan pengedar tunggal kenderaan Chevrolet di Malaysia hari ini memperkenalkan tiga varian baharu untuk trak pikap popular ini. Ia dinamakan: Colorado X, Colorado X-Urban dan Colorado X-ADV.

Menurut Farid Rosli, Timbalan Presiden 1 Naza Quest Sdn.Bhd. walaupun mereka baharu sahaja melancarkan Colorado baharu itu hujung tahun lepas, mereka ingin menawarkan keseronokkan dan pilihan yang lebih luas untuk pelanggan. Varian ini menunjukkan yang Colorado yang sudah sedia lasak boleh menjadi lebih rugged.

Model konsep X-Edition merupakan sebuah Colorado baharu yang dikenakan dengan kit penuh yang lasak dan bergaya. Ia telah dipertontonkan di setiap lokasi pelancaran dan roadshow Chevrolet dan telah menarik minat banyak pihak. Ia juga menjadi daya tarikan buat pengunjung ke lokasi mereka.

Bagaimanapun trak konsep dengan kit badan penuh bukannya digemari oleh semua pelanggan, jadi Naza Quest mengambil pendekatan selamat dengan menghasilkan tiga varian yang berbeza untuk gaya hidup yang berlainan. Tiga varian daripada X-Edition ini ialah, Colorado X untuk mereka yang mahukan sedikit tambahan gaya macho dalam kehidupan seharian, X-Urban pula lebih untuk keperluan warga kota manakala X-ADV pula ialah mereka yang mahukan sebuah kenderaan off-road yang ekstrim.

BACA: CHEVROLET COLORADO ZH2 – TRAK PIKAP TENTERA PALING GANAS

Ketiga varian baharu ini menawarkan tambahan ciri estetika berbanding model standard tetapi masih mengekalkan gaya lasak yang sinonim dengan Colorado. Colorado X diberikan warna hitam sebagai identiti kerana ia kelihatan elegan, memberikan imej lasak kepada trak pikap ini dan sekaligus membuatkannya kelihatan berkuasa.

Colorado X merupakan model entry level X-Edition dan dilengkapi dengan logo berwarna hitam menggantikan logo asal yang berwarna emas di depan dan belakang. Ia juga dilengkapi dengan pelekat X-Editon di segenap penjuru badan trak selain tulisan ‘COLORADO’ yang diperbesarkan di bahagian belakang. Model yang berharga RM113,248.28 ini turut dilengkapi dengan sport rim berwarna hitam.

Colorado X-Urban pula ditawarkan dengan harga RM131,798.28 mendapat semua elemen estetika yang ada pada Colorado X dan tambahan sport rim bersaiz 20 inci, tayar HT dan pelindung fender yang berwarna hitam.

Akhir sekali ialah Colorado X-ADV yang dilengkapi dengan Bar Sport, rim 16-inci, tayar MT, pemijak sisi hitam, pelindung fender dan pelbagai ciri tambahan lain lagi. Namun kekuatan sebenar varian ini ialah sistem suspensi Old Man Emu yang dilengkapkan padanya untuk keperluan off-road yang serius. Ia juga meningkatkan lagi keupayaan membawa bebanan dan prestasi.

Kesemua ketiga varian dilengkapi dengan enjin Duramax 2.5-liter empat selinder turbodisel VGT (variable geometri turbocharger). Enjin patuh Euro-4 ini mampu menghasilkan 180 bhp kuasa maksima dan tork sebanyak 440Nm pada serendah 2,000rpm. Ia kemudiannya dipadankandengan kotak gear automatik 6-kelajuan ataupun manual 6-kelajuan.

Untuk mengurangkan kesan NVH (noise, vibration, harshness), Colorado dilengkapkan dengan penebat bunyi di sekitar bahagian pancitan selain mounting badan, enjin dan kotak gear yang diperbaharui. Malah cakera breknya juga merupakan rekaan baharu untuk mengurangkan kesan NVH.

Colorado turut dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk perlindungan penumpang seperti ESC, EBD, TCS dan sebagainya. Selain daripada itu ia turut dilengkapi dengan dua beg udara di hadapan dan beg udara bahagian lutut untuk pemandu.

Selain daripada itu, kelengkapan lain Colorado ialah, Lane Departure Warning, Forward Collision Alert, sensor meletak kenderaan, Tyre Pressure Monitoring System. Ia juga mempunyai lampu dan pengelap cermin automatik untuk kemudahan. Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai perisian yang menyokong penggunaan aplikasi Apple Car Play untuk memudahkan kehidupan seharian anda.

GALERI:

Tags
Google ads
Back to top button