
NETIZEN KECAM GENG 4X4 SELAMBA PARKIR TENGAH SUNGAI, BAHAYAKAN KESELAMATAN PENGUNJUNG LAIN
Tular baru-baru ini apabila kumpulan pemilik kenderaan 4×4 mencetuskan kontroversi, meletakkan kenderaan 4×4 di tengah sungai, seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengunjung lain.
Tindakan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutama jika fenomena kepala air berlaku.
Jika ini terjadi, bukan sahaja kenderaan-kenderaan tersebut berisiko dihanyutkan, tetapi juga berpotensi menimbulkan bencana kepada pengunjung dan merosakkan ekosistem semula jadi yang telah lama terpelihara.
Netizen di ruangan komen mengecam tindakan tersebut, menekankan bahawa perbuatan meletakkan kenderaan di tengah sungai bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga membahayakan nyawa orang lain.

“Acah-acah paling gempak.. sebab boleh parking dalam anak sungai. Kembang hidung, bila kanak-kanak cakap “wahhh kereta dia boleh masuk air laa,” komen netizen.
Komen lain, “Apa lah yg difikirkan diorang ye? Antara ramai-ramai kawan kat situ memang sorang pun tak boleh fikir yang baik buruk tindakan diorang ke?”
Ramai juga yang berpendapat bahawa geng 4×4 sering merasa mereka kebal dari tindakan undang-undang, dan bersikap angkuh hingga sukar menerima teguran.

Susulan insiden ini, ramai pihak meminta agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap pemilik kenderaan 4×4 yang terlibat.
Kesedaran tentang pentingnya mematuhi peraturan di kawasan rekreasi perlu dipertingkatkan untuk memastikan keselamatan semua pengunjung dan menjaga alam sekitar.
Mengulas mengenai kejadian ini, pihak pengurusan tapak perkhemahan Anugerah Alam Campsite menegaskan bahawa mereka tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana kumpulan kenderaan 4×4 untuk bertindak sedemikian.
Mereka menyatakan bahawa pihak mereka telah meletakkan red tape di beberapa kawasan sungai untuk menghalang kemasukan kenderaan pacuan empat roda ke kawasan tersebut.

Malangnya, red tape tersebut didapati telah ditanggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Red tape berkenaan masih ada semalam sebelum kejadian. Namun selepas kejadian, kami dapati red tape berkenaan ditanggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tulis Anugerah Alam Campsite di ruangan Facebook.
“Kami sangat tidak menyokong kelakuan seperti ini dan berharap para tetamu mengikut peraturan-peraturan yang telah kami tetapkan demi memelihara tempat ini.”
Pihak pengurusan Anugerah Alam Campsite juga menekankan bahawa mereka sama sekali tidak menyokong tindakan tersebut dan menyeru agar semua pengunjung mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian kawasan rekreasi itu.
Mereka berharap agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi dan pengunjung lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. – Vocket
- BACA: AUDI SQ5 BAHARU – LEBIH GARANG DAN LEBIH LAJU
- BACA: PESAING BYD DOLPHIN, GEELY GEOME XINGYUAN DIPERKENALKAN DI CHINA – JARAK GERAK 410KM, HARGA BERMULA RM49K
- BACA: NAMPAK MACAM RANGE ROVER PULA CHERY FULWIN T11 NI – KORANG PULA RASA MACAM MANA?
- BACA: TEMPAHAN GWM HAVAL H6 HEV KINI DIBUKA – ANGGARAN HARGA RM145K