
PESAING BYD DOLPHIN, GEELY GEOME XINGYUAN DIPERKENALKAN DI CHINA – JARAK GERAK 410KM, HARGA BERMULA RM49K
Geely telah mendedahkan gambar rasmi bagi model elektrik baharu mereka, Geome Xingyuan, yang merupakan hatchback elektrik, dijangka akan dilancarkan di pasaran China tahun ini untuk bersaing dengan model BYD Dolphin.
Model ini adalah tambahan terkini kepada barisan Geome, yang dahulunya dikenali sebagai Geometry.
Walaupun pada asalnya Geome adalah jenama bebas di bawah Kumpulan Geely, prestasi jualan yang mengecewakan telah menyebabkan ia diserap kembali sebagai siri Geome di bawah jenama Geely.
Model Geome ini akan menambah kepada enam model sedia ada dalam siri Geome, iaitu Panda Mini, Panda Knight, G6, M6, E, dan A.

Dengan dimensi 4135/1805/1570mm dan jarak roda 2650mm, Geome Xingyuan adalah 10mm lebih panjang dan 35mm lebih lebar daripada BYD Dolphin.
Dari segi reka bentuk, Geome Xingyuan mempamerkan bahasa reka bentuk baharu, lampu utama berbentuk bujur, pemegang pintu rata, dan bumbung berwarna hitam serta dilengkapi dengan tulisan “Geome,” spoiler, dan lampu belakang berbentuk bujur.
Ciri-ciri lain termasuk rim empat-jejari dan trim plastik di bahagian bawah badan, yang menjadikan reka bentuknya menyerupai gabungan Wuling Bingo atau Smart #1.
Di bahagian dalaman, Geome Xingyuan tampil dengan konsol tengah dan panel pintunya dihiasi dengan corak pemandangan bandar yang diterangi, yang memberikan kesan futuristik.

Selain itu, ia dilengkapi dengan stereng berbentuk D dua-jejari, kluster instrumen LCD kecil, dan skrin utama selain, menerima kelengkapan seperti dua pad pengecasan tanpa wayar, gear shifter kecil, dua pemegang cawan, serta satu ruang simpanan kecil.
Geely juga telah mengesahkan bahawa Xingyuan menggunakan sistem operasi Flyme Auto OS daripada pembuat telefon Meizu, menawarkan integrasi tinggi dengan telefon Meizu, pelbagai pilihan penyesuaian, sokongan permainan, dan pembantu AI terbina dalam.
Untuk prestasi, Geome Xingyuan dilengkapi dengan motor elektrik TZ160XS001 yang mampu menghasilkan 78hp untuk varian asas dan TZ160XS002 dengan kuasa 114hp untuk varian lebih berkuasa.
Geome Xingyuan juga dilengkapi dengan dua bateri LFP yang dibuat oleh CATL, dengan kapasiti 30.12kWh untuk jarak pemanduan 310km, dan 40.16kWh untuk jarak 410km.
Harga permulaan untuk model ini dianggarkan sekitar AS$11,250 (RM49,267). Model ini dijangka menarik minat pengguna yang mencari kereta elektrik bergaya dan berprestasi tinggi di pasaran China.
- BACA: NAMPAK MACAM RANGE ROVER PULA CHERY FULWIN T11 NI – KORANG PULA MACAM MANA?
- BACA: TEMPAHAN GWM HAVAL H6 HEV KINI DIBUKA – ANGGARAN HARGA RM145K
- BACA: RIM TOLMAN MILLE LAGHI UNTUK PEUGEOT 205 DAN 309 GTi INI RM6.8 RIBU SEBUAH!
- BACA: MOTOSIKAL 150CC KE ATAS WAJIB ABS BERMULA 1 JAN 2025 – ZAHID HAMIDI









