Buletin

NETZ TOYOTA JAPAN AMBILALIH CAWANGAN TOYOTA DI PULAU PINANG

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini mengumumkan cawangannya di Pulau Pinang dan Prai telah dipindahkan operasinya kepada rakan niaga asing syarikat itu bermula 1 November 2018. Ini adalah berikutan pengumuman yang dilakukan pada Oktober tahun lalu bahawa syarikat akan memindahkan sebahagian besar operasi di cawangannya kepada pengedar atau pihak lain yang berkaitan.

Rakan niaga asing yang dimaksudkan ialah Netz Toyota Tama Co Ltd, yang telah berurusan dengan Toyota di Jepun selama hampir 60 tahun. Ia mempunyai 29 cawangan di sekitar Tokyo yang menggunakan saluran jualan Toyota Netz, dengan tumpuan kepada
pembeli muda. Selain itu, ia juga turut mempunyai 33 lagi cawangan yang beroperasi sebagai saluran jualan Corolla di bahagian barat Tokyo.
Melalui usaha sama ini, S&D Tama Malaysia yang merupakan syarikat tempatan sebagai sayap operasi Netz Toyota Tama Co Ltd akan mula mengambil alih operasi cawangan sedia ada di Pulau Pinang dan Prai secara rasmi. Dengan gabungan jualan tahunan mencecah 2,000 unit, kedua-dua cawangan berkenaan mewakili peratusan jualan kenderaan Toyota yang besar bagi kawasan Utara. Selari dengan jumlah pelanggan yang semakin bertambah pula, khidmat lepas jualannya juga telah menampung keperluan servis bagi 50,000 unit kenderaan setahun.
Dengan 140 petugas keseluruhannya bagi bahagian jualan, servis dan juga kenderaan terpakai, S&D Tama Malaysia mensasarkan untuk memberi kualiti layanan yang lebih baik kepada pelanggan dan menyediakan pengalaman memuaskan bagi pelanggan-pelanggan
baru serta pemilik sedia ada kenderaan Toyota secara keseluruhannya.
“Setahun yang lalu, kami mengumumkan bahawa operasi jualan kami akan dipindahkan kepada pengedar untuk meningkatkan tumpuan terhadap operasi dan layanan pelanggan yang lebih baik. UMW Toyota Motor pula akan memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti
yang memberi nilai tambah lainnya seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan kepada rangkaian pengedar. Setakat hari ini, sebahagian besar operasi cawangan kami sudah bertukar tangan,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
Mengulas tentang usaha sama baru itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata; “Kami amat berbesar hati mengalu-alukan S&D Tama Malaysia Sdn Bhd untuk menyertai rangkaian Toyota di Malaysia. Mereka mempunyai pengalaman 60 tahun dalam memenuhi keperluan dan melayani pelanggan Toyota, serta sangat dikenali sebagai pengedar utama dengan tahap kepuasan pelanggan yang tinggi di Jepun. Menjadi harapan kami untuk melihat S&D Tama memainkan peranan yang sama di Malaysia pula.”
“Sejak kewujudan kami pada tahun 1960, syarikat kami di Jepun terus-menerus memberikan yang terbaik untuk pelanggan. Kami percaya, perniagaan Toyota di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan untuk itu, kami ingin turut menyumbang sama kepada pertumbuhan perniagaannya di sini,” ujar Presiden S&D Tama Malaysia, Katsuhiko Tamura.
“Kami ingin berterima kasih kepada UMW Toyota Motor kerana memberikan peluang untuk terlibat sama di dalam operasi jualan syarikat itu di sini. Kami ingin memberi jaminan bahawa kami akan memikul tanggungjawab berkenaan dengan komited untuk melayani pelanggan baru dan sedia ada sebaik mungkin,”; tambah beliau lagi.
Dua cawangan yang diuruskan oleh S&D Tama Malaysia itu terletak di Jalan Jelutong di Pulau Pinang dan juga di Kawasan Perindustrian Prai. Kedua-dua pusat 3S berkenaan menawarkan perkhidmatan jualan dan lepas jualan yang menyeluruh, termasuk kemudahan cat dan badan kenderaan.
Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan lokasi rangkaian pusat jualan dan lepas jualan Toyota boleh layari toyota.com.my atau menghubungi talian bebas tol Toyota di 1800-8-869682.
Google ads
Back to top button