Artikel Pilihan

MINNATURE MALAYSIA. SUMPAH BEST! RUGI KALAU TAK PERGI

Walau setua mana pun seseorang itu, sisi dunia imaginasi kanak – kanak tidak akan pernah luput dalam diri seseorang, terutamanya sang lelaki. Kita tentu biasa bermain dengan model model berskala kecil sewaktu masih kanak – kanak. Namun bukan semua kanak – kanak berpeluang untuk bermain dengan model mainan berskala kecil yang sebenar disebabkan pelbagai faktor.

Maka jangan hairanlah bila dah tua bangka sebegini penggemar / pengumpul kereta / patung mainan dia lebih ramai daripada kanak – kanak. Jenama Tomica & Hotwheels sudah tentu mendahului carta. Bagi yang terlebih kreatif, maka dibuatkan susun atur / diorama bagi nampak lebih nyata dan juga lebih puas apabila melihatkan hasilnya.

Harus barang diingat, kerja kerja pembuatan miniatur sebegini memerlukan minat yang bukan kepalang. Tapi minat sahaja sebenarnya tidak cukup. Untuk menjadikan ianya suatu realiti sebegini memerlukan lebih dari itu. Dan itulah yang dihadapi oleh pengasas MinNature Malaysia ini. Nak dapat modal dan sokongan bukannya mudah. Sebenarnya, MinNature Malaysia ini telah pun wujud sekitar beberapa tahun yang lalu dengan menjadikan Summit USJ sebagai lokasi untuk menempatkan replika bangunan / monumen utama negara seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan juga Dataran Merdeka. Tapi sayangnya, atas beberapa sebab, lokasi tersebut terpaksa ditinggalkan.

Tapi hikmahnya adalah MinNature Malaysia kini beropeasi dari Tingkat 1 Plaza Sg Wang, Kuala Lumpur. Lebih mudah untuk diakses. Itu hari BK pergi pun naik Monorel sahaja. Terus sampai. Dan tahukah, bersempena dengan pembukaan semula MinNature Malaysia pada tahun ini, harga kemasukan pun murah juga pada fikiran BK. Makan tengahari di Ibu Kota ini jauh lebih mahal daripada tiket nak masuk ke MinNature Malaysia ini.

Walaupun terdapat ‘kehilangan’ beberapa ikon utama seperti Menara KL dan KLCC di lokasi baharu ini, namun ianya telah ditebus dengan pengenalan segmen baharu seperti makanan rakyat Malaysia meliputi Sarapan Pagi, Set Jualan Kacang Putih dan juga Gerai Satay. Dia punya terperinci memang Superb! Terlalu sempurna. Kalau pergi tengok waktu bulan Puasa, silap hari bulan mau menjijir air liur dibuatnya.

Menarik juga apabila MinNature Malaysia turut memaparkan di dalam ruang pameran kotak kaca adalah diorama tentang kehidupan masyarakat Melayu di kampung, kehidupan di Kelong dan juga kehidupan di kaki lima pekan lama yang terdapat di negara kita serta kehidupan masyarakat di pedalaman Sarawak.

Dan paling menarik sudah tentulah pembinaan beberapa kota dalam berskala kecil seperti di Pulau Pinang terutamanya di kawasan Fort Cornwallis. BK tercari – cari juga yang mana satu gerai Hameed Pata Mee Sotong tu. Masjid Kapitan Keling pun ada juga. Pun cari gerai Nasi Kandar Beratuq tak jumpa juga. Haih!

Pada ruangan berikutnya, tersergam replika mercu tanda Ibu Kota, Dataran Merdeka dan juga Bangunan Sultan Abdul. Kagum kejap dengan rekaan bangunan yang diperbuat daripada Printer 3D sahaja itu. Sempurna sesempurnanya. Malah kawasan persekitaran yang dibina juga kelihatan terlalu sempurna. Curiga juga BK. Mana pergi semuanya lubang lubang yang biasanya yang terdapat di jalanraya kita ini kan?

Menambahkan kemenarikan ruang pameran ini adalah kita boleh menyentuh di ruangan yang disediakan untuk menggerakan model keretapi misalannya dan juga bunyi hiruk pikuk Ibu Kota Cinta ini.

Sejujurnya BK tidak puas untuk menikmati tempat sebegini. Seolah berada dalam dunia sendiri. Walaupun ianya barangkali jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan Miniatur Wunderland di Jerman, tapi setidaknya ini adalah langkah pertama untuk menuju ke arah itu. Iya tak?

Cuma satu aja BK nak pesan, kalau nak pergi jangan bawa anak – anak. dahulu. Nanti sekejap aja mereka ajak keluar. Tak puas nanti nak belek satu persatu. Silap hari bulan, kena pergi lagi sekali. Haih!

BACA : MAPS PERAK DITUTUP. TIADA LAGI AKSI STUNT LEGENDS SELEPAS INI

BACA : BELI HAPPY MEAL DAPAT TOMICA TOYOTA GR SUPRA – HANYA DI JEPUN

Google ads

B K

Back to top button