Artikel Pilihan

HRA0 INI KOD ENJIN ALMERA BARU

Pada pendapat penulis, Almera baru dengan rekaan V-Motion ini memang menarik sungguh rekaannya. Nampak lebih vibrant, lebih moden dan lebih muda dari rekaan lama. Bulan lepas menyaksikan Nissan Thailand telah melancarkan Almera generasi baru N18 dengan enjin baru dengan kod HRA0. Enjin 1000cc 3 silinder ini membolehkan Nissan Almera dikategorikan dalam Thailand ECO Car Phase 2.

Agak susah nak cari maklumat pasal enjin 1000cc ini. Namun selepas menghabiskan masa seharian mencari maklumat, penulis rasa ini adalah maklumat yang hampir tepat spesifikasi penuh enjin Almera N18 generasi baru. Maka besarlah harapan kami agar pihak Nissan menggunakan enjin ini bagi menggantikan enjin HR15DE. Salah satu kelebihan enjin ini ialah ia mampu bergerak sejauh 23.3km per liter petrol, membebaskan hanya maksimum 100g/km gas CO2 dan melepasi tahap pencemaran Euro5.

Enjin ini merupakan enjin 3 silinder dengan sistem pemasaan injap yang dikawal oleh mekanisme Double Over Head Cam. Saiz diameter silinder ialah 72.2mm dan saiz lejang ialah 81.3mm menjadikan saiz keseluruhan enjin ialah 999cc ataupun 1 liter. Sama saiz dengan kotak susu di rumah anda. Nisbah mampatan ditetapkan pada 9.5. Namun jika dilihat dengan teliti pada brosur Nissan dengan tulisan Siam akan ada tertulis +- 0.2

Namun penulis tidak dapat memastikan samaada enjin tersebut datang dengan mekanisme motor DC yang berupaya mengawal nisbah mampatan enjin memandangkan enjin ini bukanlah enjin high end. Berbanding dengan pesaing yang lain, Nissan memilih untuk menggunakan sistem pancitan bahan api port injection berbanding dengan pesaing lain yang menggunakan direct injection.

Blok enjin ini pula dibina dengan aluminium bagi mengurangkan berat enjin. Namun begitu cabaran enjin yang dibina dengan aluminium ialah ia tidak tahan dengan suhu panas dan juga geseran. Bagi mengatasi masalah ini, jurutera biasa memasang lapisan lapisan logam nipis setebal 2mm. Namun dengan teknologi baru, lapisan ini disadur dengan lapisan besi dengan ketebalan hanya 0.2mm sahaja

Teknologi baru ini, lapisan nipis ini membenarkan pengaliran haba dengan lebih pantas, menyejukkan enjin dengan lebih cepat dan mengelakkan masalah ketukan daripada berlaku. Nissan juga menyedari kaedah ini juga menyebabkan enjin menjadi lebih ringan berbanding dengan kaedah konvensional. Bagi menjadikan enjin ini lebih ringan, beberapa teknologi lain turut diperkenalkan.

Kepala silinder enjin ini telah diintegrasikan dengan ekzos manifold bagi membenarkan enjin mencapai suhu optimum dengan pantas dan kawalan pencemaran asap yang lebih baik. Rekaan yang kompak ini membenarkan pakejing yang lebih ringkas dan ringan. Nak tambah ringan, Nissan guna penutup enjin yang diperbuat daripada plastik.

Kalau dah enjin saiz kecil, macam biasa la kene pasang turbo untuk tambah kuasa enjin. Kelebihan turbo ialah ia menggunakan tenaga kinetik terbuang dan meningkatkan kecekapan mekanikal enjin tanpa meningkatkan geseran enjin. Tekanan atau boost yang dihasilkan oleh turbo akan dikawal oleh aktuator elektrik bagi menghasilkan kuasa yang lebih inear

Masalah enjin yang menggunakan turbo ialah mengawal suhu kebuk pembakaran. Nissan mereka enjin ini dengan 2 sistem aliran penyejukan pada kepala silinder bagi kawalan suhu yang optimum. Blok enjin pula menggunakan kaedah open deck berbanding kaedah closed deck. Kawalan suhu ini membenarkan pembakaran berlaku dengan efiysen, mengurangkan penggunaan petrol serta merendahkan pengeluaran gas karbon diaoksida.

Nissan juga memastikan geseran dalaman enjin ini direndahkan dengan memperkenalkan Aci Engkol yang dibuat dengan kaedah tempaan dengan permukaan yang dimesin khas bagi menghasilkan permukaan yang licin. Tali sawat untuk aksesori lain seperti penyaman udara, kipas dan juga sistem elektrik dipasang tanpa menggunakan tensioner bagi mengurangkan berat dan geseran. Tali sawat ini dibuat dengan bahan yang khas bagi memastikan ketegangannya sentiasa pada tahap yang optimum.

Buat masa sekarang tiada maklumat atau pengesahan berkenaan sistem pemasaan injap CVTC (Continuous Variable Valve Timing Control) digunakan pada enjin ini. Namun berdasarkan maklumat yang ada kami pasti fungsi ini hanya akan dipasang pada enjin versi yang lebih berkuasa yang berupaya menghasilkan 115 kuasa kuda. Dalam tetapan sekarang enjin HRA0 ini menjana 100 kuasa kuda pada 5000 RPM.

Tork maksima ialah 152Nm pada 2400 – 4000 RPM. Dari segi penjimatan bahan api, ia berupaya dipandu sejauh 23.3 km bagi setiap liter petrol. Kalau dikira atas kertas, setangki petrol dengan kapasiti 35 liter berupaya membawa kereta ini sejauh 815km sebelum ia perlu diisi semula. Semua kuasa enjin akan dihantar ke roda depan melalui transmisi X-Tronic CVT

Transmisi CVT ini menggunakan ratio maksimum 4.00 dan ratio minimum 0.458. Antara fungsi terbaru yang diperkenalkan ialah D-Step Logic di mana ia menyediakan proses penghantaran kuasa yang lebih pantas berbanding dengan CVT biasa. Jika pedal minyak ditekan dengan agresif, transmisi akan menukar ke ratio tinggi dengan pantas dan menukar ke ratio rendah apabila pemandu melepaskan pedal minyak bagi mengurangkan lagi penggunaan petrol

Google ads
Back to top button