,
Buletin

NISSAN ALMERA 2019 DILANCARKAN DI THAILAND. 1.0L TURBO, BERMULA RM68.5K

Tanpa diduga, Nissan Motors Thailand mengejutkan pasaran Thailand apabila secara tiba-tiba sahaja memperkenalkan sedan segmen B, Almera 2019. 

Seperti yang anda boleh lihat, generasi kedua itu tampil dengan rekaan luaran yang jauh lebih menarik berbanding model terdahulu. Bahagian hadapannya diserlahkan dengan penggunaan reka bentuk baharu Nissan, gril V-motion. 

Bahagian dalaman kini juga lebih menarik dengan penggunaan meter Optitron, skrin paparan maklumat bersazi 7 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan sistem pendingin hawa automatik.

Papan pemuka pula dipasang dengan skrin sentuh lebih besar (8 inci) yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem bunyi itu kemudian disempurnakan dengan enam unit pembesar suara.   

Dengan dimensi 4,495 mm x 1,740 mm x 1,460 mm dan jarak roda 20mm lebih panjang berbanding Almera lama, sedan itu layak untuk dikelompokkan ke dalam model ECO Car Phase II.

Nissan membekalkan Almera dengan enjin tiga selinder turbo bersesaran 1.0 liter yang mampu menjana kuasa 100PS dan tork 152Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT Xtronic. 

Menurut kerajaan Thailand, kereta dalam  kategori ECO Car Phase II mesti mematuhi beberapa spesifikasi berikut:

  • Mematuhi piawaian emisi Euro 5
  • Emisi CO2 tidak melebihi 100g/km
  • Penjimatan bahan api sekitar 4.3 liter/100 km atau 23.3km bagi setiap liter petrol
  • Sistem ABS, EBDm VSA dan Brake Assist sebagai ciri standard
  • Kapasiti enjin tidak lebih 1,300 untuk petrol dan 1,500cc bagi enjin diesel

Dari segi keselamatan, Almera dilengkapi dua beg udara, ABS, EBD, BA, VDC, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX.

Pelanggan yang memilih varian VL (paling tinggi) akan menerima empat beg udara, amaran titik buta dan Nissan Intelligent Mobility. Ia terdiri daripada brek kecemasan automatik, kamera 360 darjah dan amaran pelanggaran hadapan.  

Almera 2019 ditawarkan dalam lima varian pada harga  bermula 499,000 baht (RM68,500) hingga 639,000 baht (RM89,000) seunit.

Pelanggan boleh memilih daripada enam warna menarik iaitu oren, merah, perak, kelabu, hitam dan putih. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button