Buletin

NISSAN ALMERA BAHARU SUDAH SAMPAI DI MALAYSIA. TAMPIL LEBIH ELEGAN, MODEN

Pada penghujung tahun lalu, Nissan Motors Thailand memperkenalkan model terbaharu sedan Almera 2019 di pasaran negara terbabit.

Terkini, model terbaharu Almera berwarna jingga itu dikesan berada di jalan raya negara ini.

Rekaan luaran kelihatan lebih mantap dan bergaya berbanding model terdahulu. Barulah boleh menarik minat pelanggan generasi muda.

Didatangkan dengan gril V-motion di bahagian hadapan menyerlahkan lagi penampilan elegan jentera baharu ini.

Gambar kiriman pembaca Mekanika, Shahrom Tiram menguatkan lagi bahawa sedan terbaharu dari pengeluar Jepun ini akan menemui penggemar automotif negara dalam masa terdekat.

Di pasaran Thailand, pelanggan boleh memilih lima varian pada harga bermula 499,000 baht (RM68,500) hingga 639,000 baht (RM89,000) seunit.

Selain itu, terdapat enam pilihan warna menarik menjadi pilihan iaitu jingga, merah, perak, kelabu, hitam dan putih.

Bahagian dalaman didatangkan dengan papan pemuka skrin sentuh bersaiz 8 inci yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto.

Almera terbaharu ini mendapat khidmat enjin tiga silinder turbo bersesaran 1.0 liter yang mampu menjana kuasa 100PS dan tork 152Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT Xtronic. 

Nissan mementingkan keselamatan pemandu dan penumpang, jentera ini dilengkapi dua beg udara, ABS, EBD, BA, VDC, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX.

Kita tunggu pengumuman rasmi pelancaran model terbaharu Almera ini.

Google ads
Back to top button