
NISSAN ELGRAND BAHARU DEBUT DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
Nissan akhirnya mendedahkan generasi keempat Elgrand di pameran Japan Mobility Show, menjelang pelancaran rasminya pada musim panas tahun depan.
Walaupun syarikat itu sedang melalui fasa kewangan yang mencabar, Nissan masih berjaya menghasilkan MPV premium ini, dengan rekaan yang diinspirasikan daripada konsep Hyper Tourer 2023.
Berbeza sepenuhnya daripada model yang diperkenalkan pada 2010, Elgrand baharu menampilkan bahasa rekaan “Timeless Japanese Futurism”, yang turut digunakan pada beberapa model Nissan terkini.
Hasilnya, MPV ini tampil jauh lebih moden dan berani, dengan gaya luaran yang dijangka bakal mencuri perhatian di jalan raya.

Bahagian hadapan Elgrand menyerlah dengan gril piksel yang diserikan oleh lebih sedozen lampu LED kecil, disusun kemas bersama elemen hitam dan warna badan. Reka bentuk belakangnya pula tidak kurang menarik, menampilkan unit lampu LED kompleks serta pintu belakang yang unik.
Masuk ke ruang kabin, bahagian dalaman kini lebih mewah dengan stereng dua tona kulit bersama butang fizikal, dua paparan 14.3-inci di papan pemuka, serta konsol tengah baharu yang direka lebih ergonomik.
Sistem audio 22 pembesar suara daripada Bose, termasuk unit besar pada perehat kepala hadapan melengkapkan pengalaman kabin premium ini. Tempat duduk baris kedua turut diberi sentuhan ala “kerusi lounge” dengan fungsi tilting dan perehat kaki berkuasa elektrik.

Di bawah hud, Elgrand kini dikuasakan oleh sistem hibrid e-POWER generasi ketiga yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo dengan motor elektrik.
Walaupun Nissan belum mengumumkan angka rasmi prestasi, model ini merupakan yang pertama dalam barisan global menggunakan sistem pacuan semua roda elektrik e-4ORCE versi terkini, yang membantu menstabilkan kenderaan ketika pecutan dan membrek.
Turut disertakan ialah teknologi bantuan pemandu ProPILOT generasi terbaru, dengan keupayaan pemanduan tanpa tangan di bawah kelajuan 50 km/j serta pilihan ProPILOT 2.0 untuk pemanduan lepas tangan di lebuh raya termasuk bantuan menukar lorong secara automatik.
GALERI:

















- BACA: RASMI: AVETA MARVEL 150 LANCAR DI MALAYSIA – RM7,988
- BACA: BOSCH MOBILITY AFTERMARKET TERIMA PENSIJILAN SIRIM QAS BAGI RANGKAIAN MINYAK ENJIN
- BACA: PASARAN AUTOMOTIF INDONESIA GOYANG, PELABUR SIAP SEDIA LARI
- BACA: DENZA N8L DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK ELEKTRIK 230KM, HARGA BERMULA RM199K



